DNAA Najib: Hormati Keputusan Mahkamah, Penjelasan AGC

Ketua Cabang KEADILAN Bukit Gantang, Mohd Khairol Iwan Mat Khairi menggesa semua pihak wajar menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu integriti sistem kehakiman negara.

KENYATAAN MEDIA, 22 Jun – Keputusan mahkamah tinggi memberikan pelepasan tetapi tidak dibebaskan (DNAA) kepada Datuk Seri Najib Razak dalam kes RM27 juta melibatkan SRC International Sdn. Bhd. telah diperjelaskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai satu tindakan berlandaskan lunas undang-undang dan prinsip keadilan.

Penjelasan AGC menyatakan bahawa keputusan permohonan DNAA dibuat Najib setelah mengambil kira perkembangan semasa siasatan, keperluan pengumpulan bukti tambahan dan bagi memastikan pendakwaan yang adil serta menyeluruh dapat dijalankan.

AGC menjelaskan yang pihak pendakwaan tiada pilihan kecuali terpaksa menunggu – menyebabkan kes tersebut tertangguh – sehingga dokumen yang diperlukan diperolehi, iaitu apabila perbicaraan sebuah kes berkaitan 1MDB selesai.

Komen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan keputusan mahkamah terhadap kes Najib berkaitan SRC International pada 20 Jun 2025 di Harapan Madani.

“Perlu ditekankan bahawa dokumen material tersebut telah tersedia namun sedang diguna pakai sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang masih sedang dibicarakan.

“Pihak pendakwaan telah memohon untuk diberikan masa agar dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukakan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC ini.

“Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara,” kata AGC.

Keputusan ini bukan bermakna tertuduh dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan, sebaliknya pendakwaan boleh diteruskan semula sekiranya bukti baharu yang mencukupi diperoleh.

DNAA sebenarnya bukanlah suatu bentuk pelepasan mutlak, tetapi memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk melengkapkan siasatan dan memperkemaskan kes sebelum dibawa semula ke mahkamah jika perlu.

Justeru, semua pihak wajar menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu integriti sistem kehakiman negara.

Prinsip asas dalam mana-mana sistem keadilan adalah keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan secara telus dan bebas daripada tekanan politik atau persepsi awam.

AGC sebagai institusi bebas berperanan menjaga kepentingan awam dan menegakkan undang-undang berdasarkan fakta serta bukti.

Saya melihat keputusan DNAA ini harus dilihat sebagai sebahagian daripada proses perundangan yang sah dan wajar dihormati dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua.

Mohd Khairol Iwan Mat Khairi
Ketua Cabang KEADILAN Bukit Gantang

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *