Disyaki Rogol Remaja, Lelaki Ditahan Bantu Siasatan

Suspek ditahan selepas laporan polis dibuat oleh mangsa pada 9 Mac 2026.

BAU, 10 Mac – Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang remaja perempuan yang disahkan hamil tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, suspek ditahan selepas laporan polis dibuat oleh mangsa pada Isnin.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 16 tahun enam bulan yang merupakan pelajar tingkatan lima didakwa mengenali suspek melalui aplikasi TikTok pada November tahun lalu.

“Selepas beberapa hari berkenalan, mangsa dibawa oleh suspek ke sebuah rumah di Kampung Kranji, Bau sebelum mereka didakwa melakukan hubungan intim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas kejadian tersebut mangsa memutuskan hubungan dengan suspek pada Disember 2025.

Katanya, pada 3 Februari lalu mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik kerana mengalami muntah dan demam sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Hasil pemeriksaan pakar mengesahkan mangsa mengandung tiga bulan sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *