Disyaki Curi Paip Tembaga, Lelaki Berjaya Diberkas

Kombinasi gambar suspek dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan kecurian tersebut.
MIRI, 20 Mac – Seorang lelaki tempatan diberkas polis kerana disyaki mencuri paip tembaga di halaman sebuah rumah di Piasau Garden di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata tangkapan ke atas suspek dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Polis Balai, ASP Goldy Jangan.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.30 petang, polis berjaya menahan suspek di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Desa Senadin.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa batang paip tembaga yang dipercayai dicuri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Ekoran itu katanya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan.
Sehubungan, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Justeru, Farhan menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah harta benda di daerah ini.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu mengekang aktiviti jenayah,” katanya.
Oleh Rosemaria Buma
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


