Direman Atau Tidak, Imej Menteri Besar Pas Sudah Tercalar – Andre Lai

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai menyifatkan imej Menteri Besar Perlis dan Pas sudah tercalar sama ada beliau ditahan reman atau sebaliknya. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 30 Apr – Skandal melingkari anak Menteri Besar Perlis yang dikaitkan dengan salah guna kuasa hingga Menteri Besar sendiri dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah cukup mencalarkan imejnya selaku ketua kerajaan negeri.

Menyifatkan ia episod malang buat rakyat negeri itu sejak 181 tahun ditubuhkan, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai berkata, sama ada Mohd Shukri direman atau tidak, imej dan persepsi rakyat terhadapnya sudah tercalar walaupun tidak melakukan jenayah yang sedang disiasat agensi anti-rasuah itu.

“Perkara ini sesuatu yang amat malang buat negeri terkecil di Malaysia itu malah menteri besarnya datang daripada parti yang memperjuangkan Islam sebagai teras perjuangan, namun kini integritinya sendiri dipersoalkan kerana terpalit dengan skandal anaknya sendiri.

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai menyifatkan imej Menteri Besar Perlis dan Pas sudah tercalar sama ada beliau ditahan reman atau sebaliknya. Foto Arkib

“Adalah wajar bagi Mohd Shukri menilai kembali adakah perbuatan anaknya itu diizinkan oleh agama Islam yang menitik beratkan soal dosa pahala dan hukum hakam dalam setiap tindakan seharian termasuk perkara yang melibatkan wang rakyat,” ujarnya.

Rakyat kini mempersoalkan di media sosial adakah pemimpin parti Islam masih layak menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam parti mereka tetapi dalam masa sama melakukan ‘jenayah kopiah putih’, merujuk kepada jenayah yang dilakukan manusia bertopengkan agama bagi menghalalkan perbuatan mereka.

Mohd Shukri dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah hampir 8 jam disiasat ekoran kes salah guna kuasa.

Beliau diminta mengulas laporan media yang memaklumkan Mohd Shukri disiasat hampir lapan jam oleh pasukan penyiasat badan pencegah rasuah itu sejak sesi siasatan bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Siasatan terhadap Mohd Shukri itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang turut memberitahu pemimpin Pas Perlis itu ditahan ketika hadir ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu pagi tadi.

“Betul (Shukri dibebaskan dengan jaminan SPRM),” katanya kepada media.

Terdahulu, media memetik bahawa Azam mengesahkan Mohd Shukri ditahan untuk memberi keterangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin SPRM.

SPRM Siasat MB Perlis Hampir 8 Jam Kes Salah Guna Kuasa

Sementara itu, Mohd Shukri yang ditemui media berkata beliau ditanya pelbagai soalan berkaitan ‘macam-macam kes’ dalam proses soal siasat berkenaan.

Difahamkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu ditahan untuk siasatan berkait tuduhan salah guna kuasa dalam projek pembekalan di Perlis membabitkan anaknya yang juga menantu kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *