Di Mana Bekas Pembantu Rafizi Di Kementerian Ekonomi?

James Chai Jin Shern (berdiri, dua dari kanan), bersama Rafizi membantu siasatan SPRM berhubung satu kes membabitkan mereka pada 4 Mac 2026.
PUTRAJAYA, 4 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan penganalisis politik, James Chai, yang juga bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bagi membantu siasatan.
SPRM memaklumkan Chai, atau nama penuhnya Chai Jin Shern, sedang dikesan bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya supaya menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Hafidz Abd Halim di talian 0175046503.
“Alamat terakhir Chai yang diketahui ialah di No. 10, Jalan Nikel 7/26A, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor,” menurut kenyataan itu hari ini.

Chai sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu memegang portfolio Menteri Ekonomi sebelum bekas timbalan presiden KEADILAN itu meletak jawatan pada Jun 2025 setelah tewas dalam perebutan jawatan itu di tangan Nurul Izzah Anwar.
Maklumat lanjut akan diketahui apabila keberadaannya dapat dipastikan kerana menurut semakan terakhir, beliau mempunyai kaitan dengan sebuah institut di Singapura.
Minggu lalu, satu sumber SPRM berkata ketua setiausaha Kementerian Ekonomi antara beberapa saksi yang akan dipanggil agensi itu dalam siasatan berhubung perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah firma asing.

Sumber itu berkata perjanjian tersebut didakwa diluluskan secara tergesa-gesa walaupun tidak mendapat persetujuan kementerian kewangan serta kementerian pelaburan, perdagangan dan industri.
Sumber berkenaan turut mendakwa beberapa individu diberikan jawatan kanan dalam syarikat asing terbabit selepas mereka berhenti berkhidmat dengan kerajaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
