Chelsea Berdepan Liverpool Pada Final Piala Liga Di Wembley

Pengesahan pertembungan kelab London (Chelsea) dan Merseyside (Liverpool) yang akan berlangsung pada 25 Februari ini. Foto Facebook Liverpool FC
LONDON, 25 Jan – Chelsea sekali lagi akan berdepan Liverpool pada aksi final Piala Liga selepas kelab Merseyside itu berjaya menyekat kebangkitan Fulham dalam aksi timbal balik di Craven Cottage sebentar tadi.
Berbekalkan kelebihan 2-1 daripada perlawanan pertama di Anfield, Liverpool mendahului menerusi Luis Diaz tetapi Fulham bangkit dengan jaringan Issa Diop di akhir permainan.
Skuad kendalian Jurgen Klopp diasak hebat tuan rumah sebelum meraih kemenangan 3-2 secara agregat.
“Ia bukan malam untuk menyinar dan bermain bola sepak dengan menarik, ia malam untuk layak ke final. Pemain-pemain melakukannya dengan sangat baik dan saya gembira.

“Pemain-pemain muda sangat menakjubkan. Saya gembira melihat reaksi mereka di dalam bilik persalinan,” kata Klopp.
Ulangan kepada final 2022 yang dimenangi Liverpool menerusi sepakan penalti, The Reds akan tampil buat kali ke-14 dalam penentuan Piala Liga bertemu Chelsea di Wembley pada 25 Februari ini.
Liverpool mengumpul kejuaraan terbanyak dengan sembilan gelaran Piala Liga, manakala Chelsea, yang menewaskan Middlesbrough 6-2 secara agregat, menjulang trofi itu sebanyak lima kali, kali terakhir pada tahun 2015.
Dengan Mohamed Salah cedera hamstring ketika tugasan bersama Mesir di Piala Negara-Negara Afrika, Liverpool akan kehilangan khidmat bintangnya itu untuk beberapa minggu.
Tanpa kelibat Salah, kemenangan ke atas Bournemouth pada Ahad melebarkan jurang Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris kepada lima mata.
The Reds juga masih dalam saingan Piala FA dan Liga Europa, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk merangkul empat kejuaraan musim ini. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
