CDC Kesan Virus Bawaan Nyamuk Jarang Berlaku Bunuh Lelaki Dewasa AS

Maklumat dan amaran virus EEE yang dikeluarkan CDC negeri Maine mula tular di media sosial. Foto Maine DACF

WASHINGTON, 28 Ogos – Seorang lelaki dewasa Amerika Syarikat (AS) di New Hampshire meninggal dunia selepas dijangkiti virus bawaan nyamuk yang jarang berlaku, ‘eastern equine encephalitis’ atau EEE.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (DHHS) New Hampshire dalam satu kenyataan semalam, berkata pesakit dari bandar Hampstead itu dimasukkan ke hospital dengan penyakit sistem saraf yang teruk dan kemudiannya meninggal dunia.

“Jangkitan virus EEE manusia terakhir dilaporkan di New Hampshire adalah pada 2014, apabila DHHS mengenal pasti tiga jangkitan manusia, termasuk dua kematian,” kata jabatan itu.

Jangkitan dan kematian baharu itu berlaku ketika peningkatan kebimbangan dalam kalangan pegawai di seluruh New England mengenai peningkatan risiko EEE, ancaman yang dipercayai diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Awal bulan ini, Massachusetts mengumumkan kes manusia pertama EEE di negeri itu – seorang lelaki berusia 80-an – dan pegawai meminta orang ramai untuk mematuhi perintah berkurung di luar rumah secara sukarela, menutup taman awam, dan memulakan semburan untuk mengawal jumlah nyamuk.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), gejala penyakit itu termasuklah demam, sakit kepala, muntah, cirit-birit, sawan, perubahan tingkah laku dan mengantuk.

Ia juga boleh menyebabkan penyakit neurologi yang teruk, seperti keradangan otak dan membran di sekitar saraf tunjang, yang dikenali sebagai ‘ensefalitis’ dan ‘meningitis’.

Kira-kira 30 peratus daripada mereka yang dijangkiti meninggal dunia manakala yang lain akan mengalami kesan fizikal atau mental yang berterusan.

Individu berusia di bawah 15 dan lebih 50 tahun dianggap golongan yang berisiko lebih tinggi, malah tiada vaksin atau rawatan tersedia setakat ini.

Pegawai kesihatan menasihatkan orang ramai menggunakan penghalau serangga, memakai pakaian pelindung di luar rumah dan membuang takungan air di sekitar rumah untuk mengurangkan tempat pembiakan nyamuk.

Laporan 2023 oleh Climate Central menyatakan bilangan ‘hari nyamuk’ – keadaan panas dan lembap yang sesuai untuk pembiakan – meningkat di serata AS sepanjang empat dekad yang lalu, disebabkan oleh perubahan iklim yang berpunca daripada perbuatan manusia. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *