Carabao Cup: Isak, Ekitike Jadi Pemusnah Liverpool

Gol kedua dari Ekitike tercalar apabila dilayangkan kad merah kerana membuka baju ketika Liverpool menewaskan Southampton 2-1 pada 24 September 2025. Foto Reuters

LIVERPOOL, 24 Sep – Pertembungan antara Liverpool dan Southampton menyaksikan Alexander Isak meledak gol sulung bersama The Reds ketika menewaskan The Saints 2-1 pada aksi pusingan ketiga Piala Liga (Carabao Cup), awal pagi tadi.

Penyerang Sweden itu yang berhijrah dari Newcastle United dengan rekod perpindahan Britain bernilai 125 juta pound (RM710 juta) tampil buat kali ketiga bersama The Reds.

Isak, yang menyambut ulang tahun ke-26 Ahad lalu, memanfaatkan kesilapan penjaga gol Southampton, Alex McCarthy pada minit ke-43.

Isak (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika Liverpool membenam Southampton 2-1 pada 24 September 2025. Foto AFP

Hantaran pendek McCarthy dipintas Federico Chiesa yang kemudiannya melorongkan bola kepada Isak untuk disudahkan dengan tenang.

Gol itu memberi kelegaan buat Isak selepas gagal meledak ketika aksi sulung menentang Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara, selain masuk sebagai pemain gantian pada kemenangan ke atas Everton hujung minggu lalu.

Namun, Southampton bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi Shea Charles yang menyambar bola muntah hasil tandukan tidak kemas Wataru Endo.

Isak merantai pergerakan lawan ketika Liverpool membenam Southampton 2-1 pada 24 September 2025. Foto AFP

Ketika perlawanan seakan menuju ke penentuan penalti, Hugo Ekitike muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan minit ke-85 selepas menerima hantaran Chiesa.

Bagaimanapun, Ekitike dilayangkan kad kuning kedua kerana membuka baju ketika meraikan jaringannya sekali gus dibuang padang.

Pengurus Liverpool, Arne Slot yang melakukan 11 pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika menewaskan Everton, mengakui persembahan pasukannya tidak begitu meyakinkan.

“Bukan persembahan terbaik kami, tapi itu boleh dijangka bila ramai pemain baru diberi peluang. Ada juga perkara positif, Mamardashvili beraksi cemerlang, Isak dapat gol pertama dan Hugo juga menjaringkan,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool meneruskan permulaan sempurna musim ini dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, termasuk menjuarai lima aksi Liga Perdana dan satu perlawanan Liga Juara-Juara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *