Cadangan Bangunkan Rumah Atas Stesen Kereta Api Sedang Diteliti – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 di Petaling Jaya, Selangor pada 4 Jun 2025. Foto Mastura Mohd Khalid
PETALING JAYA, 4 Jun – Cadangan membangunkan projek perumahan di atas stesen kereta api sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas sedang dalam penelitian kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, cadangan berkenaan sedang dalam penelitian bersama pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pelaksanaannya memerlukan beberapa pindaan peraturan yang sedang diusahakan.
“Maknanya, ia (projek perumahan rakyat) dibangunkan di atas (stesen kereta api). Perumahan komersial, tak semuanya perumahan rakyat tetapi sebahagiannya.

“Ini (cadangan membina projek perumahan di atas stesen kereta api) yang akan dilakukan (bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas),” katanya ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Enam: Prasarana Malaysia Bhd di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Prof Dr Ahmad Fargan Mohd Sadullah.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa usaha pembangunan semula kawasan perumahan di ibu negara bukanlah satu agenda untuk mengusir atau meminggirkan penduduk Melayu.

Sebaliknya, beliau berkata ia bertujuan memperbaiki kehidupan rakyat miskin bandar, termasuk golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU), dan warga emas.
Beliau menjelaskan, dakwaan kononnya pembangunan semula ini akan merampas tanah orang Melayu adalah tidak berasas.”…Tetapi dijadikan satu isu kaum, seolah-olah hak Melayu akan dipinggir, orang Melayu akan keluarkan. Padahal secara jelas ia tidak akan terkesan dan penduduk yang asal, kekal. Itu semua jaminan dan semua itu jauh lebih baik.
“Sudah tentulah keadaan perumahan itu lebih besar dan sebagainya untuk memungkin ada satu bentuk subsidi silang. Hal ini apabila kita bangkit soal kaum, Islam terancam… orang Melayu (tetapi) pejuang Melayu ini apabila berkuasa, dia punggah kekayaan,” katanya.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, pembinaan sekolah vertikal seperti diperkenalkan dalam Kota MADANI akan dibangunkan dengan syarat keselamatan yang ketat dengan reka bentuknya lebih baik berbanding sekolah sedia ada.
“Mengenai sekolah vertikal, mula-mula ibu bapa khuatir, takut (murid) jatuh. Mereka mendiami rumah pangsa tak mengapa pula, tetapi sekolah (vertikal) tak boleh, saya pun tak faham juga
“Kota MADANI di Putrajaya memang (akan diperkenalkan) sekolah vertikal dan parkir semua di bawah, aras perumahan memang betul-betul ‘garden’ (taman), manakala sekolah di atas.

“Sekolah kalau ada lif ia akan jadi lif khusus untuk sekolah sahaja, jadi anda boleh jalan dari tingkat 14 ke bawah untuk tadika atau sekolah, tetapi syaratnya (pembinaan) ketat,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan Kota MADANI di Pulau Pinang pula akan membabitkan 10,000 unit perumahan di Seberang Jaya dan Batu Kawan, masing-masing di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.
“Ia termasuk sekolah vertikal, balai bomba, klinik yang semuanya di sekeliling situ jadi orang tak perlu bayar kos (pengangkutan).
“Nanti MRT tak laku sebab orang tak pakai, ini boleh mengurangkan beban pengangkutan awam,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
