Cacar Monyet – India Catat Sejarah

KOCHI, 1 Ogos – India hari ini mengesahkan kes kematian pertama akibat cacar monyet, membabitkan seorang lelaki muda di negeri selatan Kerala, kematian keempat yang diketahui disebabkan jangkitan wabak yang sedang menular itu.

Minggu lalu, Sepanyol melaporkan dua kematian berkaitan wabak itu, manakala Brazil melaporkan kes pertama.

Kematian di India juga mencatat sejarah kerana ia adalah yang pertama di Asia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan global pada 23 Julai lalu.

Menteri hasil Kerala berkata, lelaki India berusia 22 tahun itu meninggal dunia Sabtu lalu dan kerajaan sudah mengasingkan 21 individu yang berhubung dengannya.

“Individu itu tiba di Kerala pada 21 Julai tetapi pergi ke hospital hanya pada 26 Julai apabila dia menunjukkan gejala keletihan dan demam,” kata Menteri, K Rajan kepada pemberita.

Beliau memaklumkan, tidak ada sebab untuk berasa panik kerana tiada seorang pun daripada kenalan utama mangsa menunjukkan gejala.

Menteri kesihatan Kerala, Veena George, semalam memberitahu pemberita, keluarga lelaki itu memberitahu pihak berkuasa pada hari sebelumnya bahawa dia diuji positif di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum kembali ke India.

Kementerian kesihatan persekutuan India tidak mengulas mengenai kematian itu, kecuali menyatakan kerajaan membentuk pasukan petugas pegawai kanan bagi memantau kes cacar monyet di negara itu, yang mana media tempatan sudah melaporkan sekurang-kurangnya lima jangkitan.

WHO berkata, akhir bulan lalu, 78 negara melaporkan lebih 18,000 kes cacar monyet, majoritinya di Eropah.

Katanya, virus cacar monyet menyebabkan penyakit dengan simptom yang kurang teruk berbanding cacar dan berlaku terutama di Afrika tengah dan barat.

Penyakit itu disebarkan daripada haiwan kepada manusia.

Penularan antara manusia berlaku melalui sentuhan dengan cecair badan, luka pada kulit atau permukaan mukosa dalaman, seperti dalam mulut atau tekak, titisan pernafasan dan objek tercemar.

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *