Bursa Malaysia Mampu ‘Tembus’ 1,800 Mata Tahun Ini

Rakuten Trade menyemak naik sasaran FBM KLCI kepada 1,810 mata berdasarkan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER), berbanding sasaran sebelumnya sebanyak 1,730 mata.
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Rakuten Trade menjangkakan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berupaya melepasi paras 1,800 mata tahun ini, sebelum meneruskan momentum positif ke arah 1,900 dan 2,000 mata pada tahun berikutnya.
Menurut Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee, bagi 2026, firma itu menyemak naik sasaran FBM KLCI kepada 1,810 mata berdasarkan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER), berbanding sasaran sebelumnya sebanyak 1,730 mata.
Beliau berkata, semakan itu dibuat susulan aliran masuk dana asing sebagai salah satu faktor utama, selain jangkaan peningkatan keuntungan korporat yang lebih baik, iaitu sebanyak 7.1 peratus bagi tahun ini.

“Sudah pasti, sektor yang akan menyokong aliran menaik ini ialah sektor bermodal besar seperti perbankan, perladangan dan telekomunikasi,” katanya pada taklimat media secara maya Unjuran Suku Pertama 2026 Rakuten, hari ini.
Mengulas lanjut, Yee berkata, FBM KLCI mempunyai potensi untuk menembusi paras 1,900 mata, namun mungkin bukan tahun ini.
“Mungkin jika semuanya berjalan mengikut rancangan dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkelakuan baik, tahun depan kita boleh menyaksikan FBM KLCI mencapai 1,900 atau bahkan 2,000 mata,” katanya.

Berhubung prestasi ringgit, beliau berkata, Rakuten menjangkakan mata wang tempatan itu melalui proses penyesuaian semula dan diunjurkan bergerak dalam julat RM3.80 hingga RM4 berbanding dolar AS tahun ini.
“Ini disokong oleh kelembapan ekonomi AS yang mungkin mendorong kepada lebih banyak pemotongan kadar faedah serta penjualan aset berdenominasi dolar AS, khususnya bon Perbendaharaan AS.
“Sementara itu, pengukuhan terkini ringgit berbanding dolar AS bukanlah suatu kebetulan, dan kami percaya ia berpotensi untuk menembusi paras RM4 pada masa akan datang. Pergerakan ini penting kerana ia adalah antara pemangkin utama kepada pasaran ekuiti,” katanya.

Yee berkata, RM3.80 adalah paras menarik kerana ia menjadi kadar di mana ringgit ditambat semasa kawalan mata wang pada 1998.
“Apabila ringgit benar-benar lemah, ia tidak mencerminkan asas ekonomi negara. Keadaan itu lebih disebabkan oleh spekulator mata wang dan sifat ringgit yang tidak diniagakan secara antarabangsa, sehingga pada satu ketika seolah-olah dimanipulasi hampir mencecah paras RM4.80.
“Kini, dengan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif serta potensi aliran masuk pelaburan langsung asing, permintaan terhadap ringgit dijangka meningkat.
“Oleh itu, keyakinan terhadap ringgit untuk menembusi paras bawah RM4 berbanding dolar AS adalah tinggi,” katanya.
Mengulas aliran dana asing setakat tahun ini, beliau berkata, firma pembrokeran itu menjangkakan prestasi yang lebih baik dan berharap kemasukan semula dana ke rantau ini.
Katanya, aliran dana asing sebelum ini mengecewakan, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM22.6 bilion setakat tahun ini, namun pegangan saham asing kekal stabil sekitar paras 19 peratus.
“Sehubungan itu, pujian wajar diberikan kepada institusi tempatan kerana memainkan peranan sokongan yang kukuh apabila mereka menjadi tunjang utama dalam mengekalkan indeks pada paras semasa.
“Oleh itu, kita boleh mengesahkan bahawa lebih ramai pelabur asing jangka panjang telah kembali, manakala kebanyakan penjual adalah pelabur jangka pendek.
“Menuju ke hadapan, kami berharap pegangan saham asing dapat meningkat kepada antara 25 peratus hingga 30 peratus,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


