Bursa Malaysia Ditutup Rendah Tengah Hari

Pada jam 1.10 tengah hari, indeks berada pada paras 1,733.62, turun 6.60 mata berbanding paras penutup pada 15 Mei 2026.
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan tengah hari dengan ditutup rendah ekoran sentimen pasaran serantau yang lemah.
Pada jam 1.10 tengah hari, indeks berada pada paras 1,733.62, turun 6.60 mata berbanding paras penutup pada Jumaat.
Terdahulu, indeks bursa dibuka tinggi hari ini susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 yang lebih kukuh daripada jangkaan apabila berkembang 5.4 peratus, mengatasi anggaran awal 5.3 peratus.

Pada Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pertumbuhan KDNK suku pertama 2026 yang lebih baik itu didorong oleh permintaan domestik, aktiviti pelaburan serta eksport yang kekal kukuh.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.37 mata kepada 1,741.59 berbanding 1,740.22 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.72 mata lebih tinggi kepada 1,741.94.
Bagaimanapun, dalam pasaran secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 380 berbanding 184, manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,850 tidak diniagakan dan 32 kaunter lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 308.91 juta saham bernilai RM177.18 juta.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata prestasi KDNK suku pertama 2026 yang lebih kukuh daripada jangkaan terus mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi domestik.
Beliau berkata keadaan itu disokong oleh penggunaan swasta yang teguh, pasaran buruh yang stabil serta momentum perbelanjaan isi rumah yang berterusan.
“Angka pertumbuhan terkini menunjukkan permintaan domestik kekal sebagai tonggak penstabil yang kritikal untuk ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan luaran yang berterusan.
“Bagaimanapun, angka KDNK yang lebih kukuh ini tidak menggambarkan Malaysia terlindung sepenuhnya daripada risiko global yang semakin meningkat, terutamanya ketegangan geopolitik di negara-negara ekonomi utama dan kenaikan semula harga minyak mentah global kebelakangan ini.
“Kedua-dua faktor ini berpotensi mempengaruhi jangkaan inflasi, dinamik fiskal dan sentimen perdagangan luar,” katanya kepada Bernama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


