BUDI95: Penerima STR Kongsi Kegembiraan Nikmati Subsidi Hari Ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan tinjauan pembelian RON95 di kalangan anggota PDRM pada 27 September 2025. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 28 Sep – Warganet yang menjadi sebahagian daripada kira-kira lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 berkongsi kegembiraan apabila mula menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula tengah malam tadi.

Mereka berkongsi pengalaman masing-masing menikmati harga subsidi berkenaan dua hari lebih awal berbanding rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi sebanyak 300 liter sebulan itu.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata mereka merasakan sistem yang digunakan tidak mempunyai masalah termasuk proses kelayakan dan cara pembelian bahan bakar itu.

Jurugambar Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban Azrin Abd Aziz (kanan) mengisi RON95 di stesen Petronas S2 City Park pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula pada 27 September 2025. Foto Bernama

“Saya nak isi RM50 dan mula mengikut arahan yang diberikan di skrin pam minyak sehingga proses pembelian RON95 selesai. Takde masalah,” kata Ismail Harun, 51.

Seorang lagi warganet yang hanya dikenali dengan nama Aniza berkongsi pengalamannya membantu suami mengisi RON95 bersubsidi di stesen minyak di Petaling Jaya hari ini.

”Alhamdulillah sedikit sebanyak kami penerima STR dapat merasai pengalaman membeli petrol subsidi lebih awal daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pelaksanaan bagi kumpulan kedua ini menyusuli kejayaan fasa pertama yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang setakat semalam berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelaksanaan hari pertama itu turut bertindak sebagai ujian tekanan terhadap keupayaan sistem dan stesen minyak yang telah membuat persediaan menjelang penggunaan lebih meluas pada Selasa ini.

Inisiatif subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu itu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan secara mendadak.

Selepas penerima STR, ia akan diperluas kepada kira-kira 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 September ini.

Anwar sebelum ini berkata subsidi bersasar itu adalah hasil daripada usaha tadbir urus yang baik serta pembersihan amalan ketirisan kewangan negara.

Baki kuota pembelian petrol RON95 dipaparkan setiap kali selesai satu transaksi yang berjaya. Foto Harapan MADANI

Beliau berkata usaha itu dapat direalisasikan atas tekad Kerajaan MADANI dalam memastikan negara ditadbir secara telus, mengamalkan pengurusan kewangan berhemah dan membanteras rasuah.

Menurut Anwar, semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif akan secara automatik layak menikmati manfaat BUDI95.

“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia. Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” jelasnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *