BUDI95: Lesen Memandu Tamat Lebih 36 Bulan Tak Layak Dapat Subsidi

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan hanya lesen yang masih diklasifikasikan aktif layak menikmati subsidi BUDI95. Foto JPJ

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ini merupakan peringatan buat para pemegang lesen memandu yang sudah lama tidak memperbaharui lesen masing-masing.

Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang tamat tempoh melebihi 36 bulan tidak layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan hanya lesen yang masih diklasifikasikan aktif layak menikmati subsidi berkenaan.

Beliau berkata LMM dianggap aktif sekiranya tempoh tamat sah laku tidak melebihi 36 bulan daripada tarikh akhir pembaharuan.

“Dalam tempoh itu, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 dan boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa sebarang ujian tambahan.

Kenyataan media Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkenaan kelayakan pemberian subsidi BUDI95 pada 26 Mac 2026. Foto JPJ

“Namun sekiranya lesen memandu tamat tempoh melebihi 36 bulan, pemegang lesen tidak lagi layak menerima subsidi BUDI95,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aedy Fadly berkata, dalam keadaan lesen tamat lebih 36 bulan, pembaharuan tidak boleh dilakukan secara terus dan pemegang lesen perlu menjalani semula ujian kompetensi memandu di Institut Memandu.

“Sehubungan itu, JPJ menyeru semua pemegang lesen memandu Malaysia agar sentiasa memastikan lesen mereka diperbaharui dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan lesen menjadi tidak aktif.

“Tindakan ini penting bagi memastikan kelayakan berterusan untuk menerima subsidi BUDI95.

“Walau bagaimanapun, sekiranya mana-mana individu memandu kenderaan motor, lesen memandu yang dipegangnya hendaklah masih berkuatkuasa iaitu belum tamat tempoh,” katanya.

Aedy Fadly berkata JPJ akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti, selaras aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *