BUDI95: Kerajaan Teliti Rayuan Nelayan, Pekebun Pengusaha Bot – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 26 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan meneliti rayuan nelayan, pekebun dan pengusaha bot yang layak supaya tidak tercicir daripada menikmati subsidi petrol di bawah Program Bantuan Subsidi MADANI RON95 (BUDI95).

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menafikan hak golongan yang benar-benar menggunakan petrol untuk aktiviti harian walaupun mereka tiada lesen atau kenderaan berdaftar.

“Katalah dia bukan nelayan tetapi guna bot di Sarawak, Sabah atau Kelantan, kita akan bantu. Kalau benar dia guna RON95, saya jamin kita akan bantu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat.

Terdahulu, para pengusaha bot di Sabah dan Sarawak membangkitkan persoalan sama ada mereka layak menerima Budi MADANI RON95 di beberapa pelantar media sosial sejak pengumuman berkenaan dibuat pada 22 September lalu.

Manakala esok, anggota polis dan tentera di seluruh negara akan mula menikmati pembelian RON95 sebanyak RM1.99 seliter.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *