BUDI95: Kapasiti Pelayan Urus Transaksi Lebih 30,000 Seminit – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 26 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kapasiti pelayan (server) lebih besar membolehkan lebih 30,000 transaksi dilakukan setiap minit bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri kewangan berkata, jumlah itu ialah 10 kali ganda daripada pelayan yang digunakan untuk program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“SARA hanya memproses 3,000 transaksi seminit, tetapi pelayan BUDI95 dapat memproses lebih 10 kali ganda melebihi 30,000 transaksi seminit,” katanya pada perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan di sini.

Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan menggunakan MyKad.
Anwar berkata, BUDI95 dilancarkan secara berperingkat, dengan 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu bermula esok, diikuti 5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Ahad ini dan 16 juta rakyat Malaysia pada 30 September nanti.
Menurutnya, BUDI95 boleh dilaksanakan susulan pengurusan kewangan kerajaan lebih baik, tadbir urus lebih kukuh dalam agensi kerajaan dan bagi mengurangkan ketirisan.

Katanya, ia hasil daripada pembaharuan, proses tender lebih ketat, usaha membendung rasuah dan menambah baik kutipan cukai.
“Kita perlu bermula dengan memahami bukan semua negara mampu meneruskan program subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.”
Beliau mengakui cabaran menangani rasuah dan ketirisan di beberapa kementerian serta agensi, tetapi pelakunya tidak mewakili majoriti penjawat awam.
“Kebanyakan penjawat awam berdedikasi dan menunjukkan pencapaian. Pertumbuhan dan pelaburan negara hasil usaha keseluruhan jentera kerajaan.”
Katanya, langkah rasionalisasi subsidi kerajaan dan bantuan tunai lebih disasarkan kepada golongan memerlukan hanya dapat dilaksanakan atas dedikasi pegawai Perbendaharaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam serta badan penguatkuasaan lain.
“Kita mesti sedar kejayaan ini datang daripada pengorbanan penjawat awam di semua peringkat, bersama sektor swasta dan profesional,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

