Boris, Rishi Dahului Saingan Pengganti Liz Truss

LONDON, 22 Okt – Boris Johnson dan mantan menteri kewangan, Rishi Sunak sedang mendahului pesaing yang berpotensi untuk menggantikan Perdana Menteri Britain, Liz Truss, malah menerima sokongan untuk menjadi pemimpin Parti Konservatif.

Selepas peletakan jawatan Truss kelmarin, sekali gus mengakhiri pentadbirannya selama enam minggu, mereka yang hendak menjadi pengganti, mencuba untuk mendapatkan 100 undian dari penggubal undang-undang Parti Konservatif supaya dapat menjadi calon untuk bersaing merebut jawatan Perdana Menteri.

Calon terbabit sekali gus akan menjadi Perdana Menteri Britain kelima dalam tempoh enam tahun.

Keputusan akan diumumkan pada Isnin atau Jumaat minggu depan.

Kemunculan semula Johnson sebagai salah seorang calon yang bersaing, disifatkan sebagai ‘luar biasa’.

Meskipun digulingkan oleh penggubal undang-undang lebih tiga bulan lalu, Johnson sudahpun berada dalam kedudukan yang setara dengan pesaingnya, Sunak untuk dinamakan sebagai perdana menteri seterusnya.


Mengulas mengenai persaingan daripada Johnson, seorang penggubal undang-undang Parti Konservatif Paul Bristow berkata: “Saya rasa beliau mempunyai rekod prestasi yang mampu mengubah keadaan. Beliau boleh mengubahnya lagi. Saya pasti rakan sekerja saya mengetahui mesej itu dengan jelas.”

“Boris Johnson adalah seseorang yang ditakuti Parti Buruh, Boris Johnson mampu memenangi pilihan raya seterusnya,” tambah Bristow.

Begitupun, Johnson berkemungkinan berdepan dengan kesulitan untuk mendapat 100 undian selepas tempoh pentadbirannya selama tiga tahun terpalit dengan skandal dan dakwaan berhubung salah laku.

Malah, salah seorang mantan penasihatnya yang enggan dikenal pasti, berkata Johnson tidak mungkin akan memenuhi sasaran terbabit, selepas dipinggirkan berpuluh-puluh anggota Parti Konservatif semasa tempoh pentadbirannya yang penuh dengan skandal.

Persaingan terbabit bermula kelmarin, selang beberapa jam selepas Truss tampil di hadapan pejabatnya di Downing Street untuk mengumumkan peletakan jawatan beliau.

Sunak, mantan penganalisis Goldman Sachs yang menjadi menteri kewangan ketika pandemik COVID-19 melanda Eropah, adalah calon kegemaran bagi jawatan Perdana Menteri itu, diikuti Johnson.

Penny Mordaunt, mantan menteri pertahanan calon pilihan selepas Johnson. Beliau turut menjadi calon yang popular dalam kalangan anggota Parti Konservatif.

Setakat ini, tiada seorang pun yang sudah mengisytiharkan pencalonan mereka secara rasmi.

– AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *