Bola Sepak Eropah Jana Pendapatan RM185 Bilion, Liga Perdana Inggeris Tertinggi

Kelab Liga Perdana Inggeris (PL) terus mendahului carta keuntungan liga bola sepak Eropah bagi musim 2023/24. Foto Reuters
LONDON, 12 Jun – Pasaran bola sepak Eropah mencatat pertumbuhan sebanyak lapan peratus dari segi hasil pada musim 2023-24 kepada 38 bilion euro (RM185 bilion), dengan Liga Perdana Inggeris (PL) menjana pendapatan tertinggi, menurut laporan kajian oleh Deloitte yang diterbitkan semalam.
Dalam laporan tahunan mereka, Annual Review of Football Finance, Deloitte menyatakan lima liga utama Eropah – PL, Bundesliga, La Liga, Serie A dan Ligue 1 – menjana sebanyak 20.4 bilion euro (RM99 bilion), meningkat sebanyak empat peratus berbanding musim sebelumnya.
Kelab PL mencatat pendapatan tertinggi dalam kalangan liga utama Eropah dengan jumlah £6.3 bilion (RM36 bilion).

Namun begitu, enam kelab gergasi tradisional PL – dikenali sebagai ‘Big Six’ – melaporkan purata pertumbuhan pendapatan yang lebih rendah (tiga peratus), berbanding kelab lain yang turut berada dalam liga itu pada musim 2023-24 dan 2022-23 (11 peratus).
Kajian itu menjelaskan pertumbuhan ini sebahagian besarnya dipacu oleh pengembangan aktiviti komersial kelab, yang buat kali pertama menyumbang lebih £2 bilion (RM11.47 bilion) dalam hasil komersial secara kumulatif.
“Tumpuan terhadap pembangunan stadium dan kepelbagaian hasil komersial mendorong pertumbuhan dalam pasaran bola sepak Eropah sepanjang musim 2023-24,” kata Tim Bridge, rakan kongsi utama dalam Sports Business Group Deloitte.
“Namun kelab dan liga tidak boleh leka kerana cabaran baharu turut timbul, termasuk landskap peraturan yang berubah dan tingkah laku peminat yang semakin berubah.
“Tekanan semakin meningkat bagi lebih banyak kelab untuk menjana hasil tambahan, dalam masa yang sama mengawal kos yang kian meningkat.
“Kini lebih daripada sebelumnya, pemimpin dan pemilik kelab perlu menyedari tanggungjawab besar dalam menguruskan entiti perniagaan ini, sambil memelihara warisan sejarah kelab bola sepak dan menghormatinya sebagai aset komuniti yang tidak ternilai untuk generasi akan datang.”
Kelab dalam lima liga utama Eropah mencatat keuntungan operasi agregat sebanyak EUR600 juta (RM2.9 bilion) untuk musim kedua berturut-turut, sementara nisbah gaji kepada hasil keseluruhan turun daripada 66 peratus kepada 64. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
