Bil Elektrik Bawah 600 kWj, Air Dikecualikan Dari Kenaikan SST – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerima anugerah daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ookla, Stephen Buy di Barcelona, Sepanyol sempena Mobile World Congress 2024. Foto X Fahmi Fadzil
BARCELONA, 28 Feb – Perkhidmatan elektrik bawah 600 Kilowatt-jam (kWj) dan air sebelum ini tidak pernah dikenakan cukai perkhidmatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebagai respon kepada sesetengah pihak yang mempersoalkan sektor telekomunikasi sahaja yang diberi pengecualian kenaikan SST.
“Jadi macam mana nak kekalkan enam peratus kalau sebelum ini kosong peratus?
“Ini poster mudah dan ringkas untuk faham,” ciapnya di aplikasi X hari ini.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut berkongsi poster mengenai kenaikan SST bermula 1 Mac ini.
Melalui poster itu dimaklumkan kenaikan SST sebanyak dua peratus pula tidak akan melibatkan keperluan asas rakyat seperti makanan dan minuman, parkir, telekomunikasi, perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman serta logistik.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu memaklumkan kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus bermula 1 Mac ini.
Ia hanya membabitkan perkhidmatan yang tidak membabitkan keperluan harian rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

