Bersatu Makin Karam, Bahagian Lipis, Raub Keluar Parti

Pemimpin dan AJK Bersatu Bahagian Raub mengisytiharkan peletakan jawatan dan keluar parti serta-merta pada 21 Februari 2026. Foto Bersatu Raub

RAUB, 21 Feb – Bersatu makin ‘karam’ hampir di seluruh negara dan terbaharu, Bahagian Raub dan Lipis dibubarkan susulan kepemimpinan dan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan.

Ketua Bersatu Raub, Fakrunizam Ibrahim, berkata tindakan keluar parti diputuskan selepas menilai pelbagai isu disifatkan bercanggah dengan prinsip perjuangan mereka.

Beliau mendakwa keputusan itu dibuat demi menjaga akhlak dan integriti.

Pengumuman pengisytiharan letak jawatan dan keluar parti Bersatu Raub pada 21 Februari 2026.

Katanya, parti politik sekadar platform tetapi prinsip perjuangan dan nilai moral mesti kekal konsisten.

“Kami tidak mahu mengulangi kesilapan kepimpinan terdahulu dalam beberapa parti lain seperti UMNO, PKR, AMANAH dan Pas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Fakrunizam berkata, terdapat isu moral membabitkan pimpinan tertinggi Bersatu dan salah laku peribadi menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

Bersatu Pasir Salak lumpuh apabila AJK bahagian umum letak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta pada 21 Februari 2026. Foto PPBM Pasir Salak

Menurutnya, pembubaran bahagian itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan penyelarasan pentadbiran, pengukuhan jentera serta penetapan hala tuju politik di Raub.

Sementara itu, Ketua Bersatu Lipis, Nor Alias Ibrahim, berkata majoriti pimpinan bahagian dan cawangan menyokong keputusan keluar parti selepas perbincangan serta tinjauan di peringkat akar umbi dilakukan.

Beliau berkata sebahagian besar pimpinan cawangan mahu perjuangan selepas ini terus berteraskan nilai agama, integriti dan prinsip moral.

“Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh semula organisasi serta menyusun strategi baharu bagi menghadapi landskap politik semasa semakin mencabar,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *