Bernama Junjung Titah Sultan Selangor Agar Perangi Berita Palsu – Fahmi

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan supaya penyebaran berita palsu diperangi secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Bernama selaku agensi di bawah kementerian berkenaan, menjunjung tinggi titah baginda yang menekankan agar organisasi media itu memperhebatkan usaha memerangi berita palsu yang disifatkan sebagai satu daripada masalah yang perlu ditangani dengan tuntas.
“Mewakili Bernama saya menjunjung kasih atas titah nasihat Tuanku dan bersama barisan warga kerja Bernama kita akan usahakan untuk kita perangi fitnah dan penyebaran berita palsu ini secara menyeluruh, termasuk dengan kerjasama daripada rakan media yang lain.
“Dalam hal ini, pihak Bernama juga menyembah maklum mengenai portal khas dikenali MyCheck Malaysia (MyCheck) yang diwujudkan sebagai antara platform menyemak kesahihan fakta yang tular di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat melawat ibu pejabat Bernama di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau bersama pengurusan tertinggi Bernama akan meneliti keperluan memperkukuhkan unit MyCheck bagi memperhebatkan lagi usaha menangkis penyebaran berita palsu agar ia boleh bergerak seiring dengan pasukan sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan juga segmen ‘Biar Betul!’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata selain inisiatif yang dilaksanakan agensi media milik kerajaan, usaha membanteras penularan berita palsu juga menuntut penglibatan menyeluruh organisasi media lain agar tindakan itu dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan menyeluruh.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya turut menjunjung tinggi titah baginda yang menyarankan Bernama menjadi sumber rujukan yang berfungsi seperti “arkib atau muzium” dalam merakamkan perkembangan bidang kewartawanan negara.
“Kita tidak ada satu tempat untuk menunjukkan perkembangan bidang kewartawanan…memandangkan Bernama telah wujud sejak 1968, maka sudah pasti banyak segi evolusi perkembangan dunia kewartawanan, Bernama pastinya sangat-sangat terlibat.
Dengan pelbagai peralatan dimiliki, daripada hibrid kepada digital, Bernama sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada arkib atau muzium yang memaparkan perkembangan dunia kewartawanan di Malaysia,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web23 Jan
