‘Berlakon’ Sebalik ‘Bengkel’, KPDN Tumpas Sindiket Seleweng Diesel

Operasi KPDN di sebuah bengkel yang dijadikan stor penyimpanan minyak diesel di Demak Laut pada 5 Mei 2026. Foto KPDN Sarawak

KUCHING, 6 Mei – Berselindung di sebalik sebuah bengkel di Demak Laut dekat sini, sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dalam satu serbuan pada petang Isnin.

Menurut Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin, serbuan kira-kira jam 2 petang itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa selepas mengekori sebuah lori tangki sehingga ke premis berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, pemandu lori tangki dipercayai sedang memindahkan minyak diesel dari sebuah lori tangki ke lori tangki lain tanpa permit sah daripada Pengawal Bekalan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 28,000 liter diesel bernilai RM144,760 disimpan di dalam dua lori tangki yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM444,860,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan 50-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan bengkel sebagai stor penyimpanan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tambah beliau, dua kes telah dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau mengawal barang kawalan dalam keadaan mencurigakan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau menegaskan, KPDN Sarawak akan terus mempergiat pemeriksaan di kawasan berisiko tinggi atau ‘hotspot’ bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan khususnya diesel.

Katanya, kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket penyelewengan subsidi kerajaan sehingga menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku aktiviti perniagaan oleh pengedar dan peniaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *