Beras Putih Malaysia MADANI: Kerajaan Belum Ada Ketetapan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu melawat sebuah pasar di Tehran, Iran. Foto Facebook Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.
Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata KPKM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.
“KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari 2024.
“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Semalam, Anwar berkata beliau yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas NACCOL yang dijangka berlangsung minggu depan.
Katanya, dalam mesyuarat itu nanti beberapa cadangan akan dikemukakan sebelum harga kawalan beras akan diputuskan secara muktamad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
