Belum Buat Keputusan Peletakan Jawatan Rafizi, Nik Nazmi – PM Anwar

Datuk Seri Anwar ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Seri Negeri, Ayer Keroh pada 12 Jun 2025. Foto RTM

AYER KEROH, 12 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau belum membuat keputusan muktamad berhubung peletakan jawatan dua menteri, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri berkata, beliau memberi ruang sehingga tamat tempoh cuti kepada Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian itu untuk menilai dan mempertimbangkan keputusan mereka.

“Biar saya fikir, biar mereka fikir. Kalau boleh, saya mahu kita bersama semula. Tapi kalau tidak, biarlah diberi ruang untuk berfikir dalam keadaan tenang. Tempoh cuti pun saya dah beri.

“Ya, masih dalam cuti. Surat peletakan jawatan memang saya terima, tapi keputusan rasmi belum saya buat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Seri Negeri, di sini pada Khamis.

Tambahnya, sebarang pelantikan pemangku jawatan akan hanya dibincangkan selepas tamat tempoh bercuti kedua-dua menteri berkenaan.

Cuti Rafizi akan berakhir 16 Jun manakala Nik Nazmi pada 4 Julai ini dan kedua-duanya meletak jawatan susulan kekalahan dalam pemilihan KEADILAN 2025 di Johor Bahru pada 23 Mei lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *