Bekas Pembantu Rafizi ‘Block’ WhatsApp Pegawai SPRM

SPRM menafikan James Chai menjadi sasaran, sebaliknya notis mengesan individu dikeluarkan apabila beliau gagal dihubungi dalam kenyataan pada 4 Mac 2026.

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Penganalisis politik, Chai Jin Shern (James Chai) yang juga bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyekat aplikasi WhatsApp pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang cuba menghubunginya beberapa kali.

Ia sekali gus menafikan dakwaan SPRM menjadikan James Chai sebagai menjadi sasaran, sebaliknya notis mengesan individu dikeluarkan apabila beliau gagal dihubungi.

Menurut SPRM, pegawai penyiasat sudah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi James Chai yang dikesan berada di United Kingdom, sebelum notis itu dikeluarkan.

Keratan kenyataan media SPRM berhubung James Chai pada 4 Mac 2026.

“Mulai 24 Februari lalu, pegawai penyiasat menghubungi aplikasi WhatsApp yang dikenali milik James Chai tetapi tidak dibalas.

“Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat disekat (block) pada 26 Februari lalu.

“Jadi, dakwaan SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut SPRM, pihaknya memandang serius kenyataan James Chai kerana beberapa dakwaan yang dibuat adalah tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran yang salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Foto Facebook SPRM

Katanya, sidang media yang dirujuk adalah sidang media bulanan SPRM yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan.

“Antara kes yang disentuh termasuk Op Middlemen yang berjaya membongkar sindiket orang tengah yang menguruskan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membolehkan kenderaan berat melanggar peraturan keselamatan jalan raya, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart, siasatan melibatkan IJM, serta Op Godfather yang berkaitan kes Toh Puan Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.

“Dakwaan sidang media itu diadakan semata-mata untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Kenyataan media SPRM berhubung bantuan mengesan James Chai pada 4 Mac 2026. Foto SPRM

“Notis mengesan individu adalah prosedur siasatan standard yang digunakan oleh SPRM dan agensi penguatkuasaan lain,” katanya.

Menurut SPRM, notis itu hanya dikeluarkan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi individu berkenaan gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui atau kaedah lain yang munasabah.

“Perlu ditegaskan notis mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan individu berkenaan melakukan kesalahan.

“Ia satu langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

James Chai Jin Shern (berdiri, dua dari kanan), sedang dikesan bagi membantu siasatan SPRM berhubung satu kes membabitkan beliau pada 4 Mac 2026.

“Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang bekas menteri dipanggil dan semuanya memberikan kerjasama kepada SPRM.

“Sekiranya James Chai tiada apa yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi kerjasama,” katanya.

Katanya, sebagai makluman, SPRM secara purata mengeluarkan antara dua hingga lima notis mengesan individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan.

Menurut SPRM, cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan yang lazim sebagai tindakan menzalimi individu adalah tidak wajar dan berniat jahat.

Di Mana Bekas Pembantu Rafizi Di Kementerian Ekonomi?

“Naratif sedemikian bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap proses penguatkuasaan undang-undang yang sah, khususnya ketika siasatan masih berjalan.

“SPRM menegaskan suruhanjaya ini sentiasa berpegang kepada “presumption of innocence” atau prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Seseorang yang dipanggil untuk membantu siasatan tidak bermaksud orang itu bersalah atau telah melakukan satu kesalahan,” katanya.

Menurutnya, tugas dan tanggung jawab James Chai sebagai seorang warganegara adalah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila timbul keperluan dan bukannya memberikan alasan yang tidak munasabah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pihak penguat kuasa.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *