Bekas MB Selangor Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Bekas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim kembali ke rahmatullah jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, di sini disaksikan oleh semua ahli keluarganya.

Menurut pentadbir laman Facebook beliau, allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23hb April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disolatkan.

“Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah,” tambah kenyataan itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj berkenan agar jenazah allahyarham disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam

“Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam,” tulis kenyataan media itu.

Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT khusus buat Allahyarham semoga Allah SWT memperkenan doa kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *