Bekalan Minyak Global Tak Menentu Dorong Ringgit Ditutup Rendah

Keputusan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk melepaskan rizab minyak setakat ini gagal meredakan kebimbangan pasaran pada 12 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan minyak akibat konflik di Asia Barat yang memasuki minggu ketiga mendorong ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9240/9280 berbanding dolar AS daripada 3.9175/9230 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keputusan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk melepaskan rizab minyak setakat ini gagal meredakan kebimbangan pasaran.
Semalam, IEA mengesyorkan pelepasan 400 juta tong minyak daripada stok simpanan, iaitu langkah terbesar dalam sejarah agensi itu bagi mengekang kenaikan harga minyak.
“Kerajaan Iran menetapkan beberapa syarat untuk rundingan damai, namun perkara itu dilihat sukar dipenuhi oleh AS dan Israel. Ini menunjukkan konflik ketenteraan yang sedang berlaku mungkin berlarutan,” katanya kepada Bernama.
Ketika laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent crude oil meningkat 4.71 peratus kepada US$96.14 setong.
Pada akhir dagangan, ringgit mencatatkan prestasi lebih rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding yen Jepun kepada 2.4720/4746 daripada 2.4719/4755 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding pound British kepada 5.2554/2608 daripada 5.2545/2619.
Bagaimanapun, unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.5361/5408 daripada 4.5412/5475.
Ringgit turut mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3257/3452 daripada 12.3386/3637 ketika ditutup semalam, dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.62/6.64.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0786/0820 daripada 3.0754/0800 semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.6 daripada 232.0/232.4.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



