Banjir: KEADILAN Gesa Kerajaan Kelantan Tidak Salahkan Kerajaan Pusat – Zinda Khalil

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan berkata kerajaan negeri harus bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi menyelesaikan isu berkenaan selain isu banjir termenung. Foto Zinda Khalil Sastro Hassan
KOTA BHARU, 26 Dis – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kelantan menasihatkan kerajaan negeri supaya tidak menyalahkan Kerajaan Persekutuan sepenuhnya susulan situasi banjir di Rantau Panjang dan dakwaan pembinaan benteng projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok menyebabkan keadaan banjir semakin buruk.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan berkata kerajaan negeri sebaliknya wajar bekerjasama dengan kerajaan pusat mencari jalan menyelesaikan isu berkenaan selain banjir termenung.
“Saya berpandangan kerajaan negeri tidak seharusnya menyalahkan kerajaan pusat berkenaan projek PLSB kerana Menteri Besar Kelantan sendiri mengakui ia belum siap sepenuhnya.
“Sudah pasti kerajaan pusat melalui kementerian berkaitan mengambil maklum akan perkara ini dan langkah alternatif sememangnya sedang dilaksanakan, cumanya hujan lebat luar biasa pasti memberi kesan terhadap integriti benteng berkenaan,” katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa terdapat banyak rungutan daripada penduduk mendakwa projek itu menyebabkan paras air banjir semakin tinggi dan mengakibatkan banjir termenung.

Tambah Zinda Khalil, Pas Kelantan sepatutnya menyoal bekas menteri mereka sendiri mengapa pembinaan benteng ketika itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual dan hanya Kerajaan Pusat sekarang sedang bertungkus-lumus menyelesaikannya.
”Ini bukan masanya kerajaan negeri menunding jari seolah menyalahkan kerajaan pusat di Putrajaya sebaliknya menyoal bekas menteri daripada parti mereka sendiri kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Kelantan sendiri.
”Saya yakin Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan isu tebatan banjir kerana ia juga merupakan tanggungjawab kerajaan di peringkat pusat membantu rakyat Kelantan dan seluruh negara yang terkesan akibat banjir,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, menteri bertanggungjawab ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah ialah Timbalan Presiden Pas sendiri, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Terdahulu media melaporkan kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah banjir termenung terutamanya di beberapa buah kampung di sekitar Rantau Panjang.
Kerajaan pusat melalui NRECC difahamkan menjalankan 40 projek berkaitan tebatan banjir serta saliran mesra alam dalam usaha mengurangkan risiko banjir di Kelantan dan Terengganu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sebahagian daripada projek dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) itu juga sedang dijalankan, sekali gus meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada kesan banjir sebelum ini.
“Di Kelantan saja terdapat dua projek utama RTB dalam pelaksanaan iaitu Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dengan kos RM456 juta dan kini sudah 87.74 peratus status kemajuan fizikalnya yang dijangka siap pada 20 April 2023.
“Selain itu, Projek PLSB Sungai Golok membabitkan tiga fasa iaitu fasa satu di Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) sudah mencapai 71 peratus kemajuan fizikal yang dijangka siap pada 13 Ogos 2024,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
