ASEAN Digesa Perkukuh Kesepaduan Hadapi Persaingan Geopolitik – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Syarahan Presiden sebelum menerima Anugerah Tertinggi ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’ daripada Presiden Dr. José Ramos-Horta di Dewan ASEAN Timor-Leste di Istana Presiden pada 24 September 2025. Foto Bernama
DILI, 24 Sep – Negara anggota ASEAN digesa memperkukuhkan kesepaduan serta kepusatan rantau ini dalam mendepani persaingan geopolitik dan cabaran serantau yang semakin kompleks, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, perpecahan dalam kalangan negara anggota ASEAN hanya akan menghalang visi kolektif untuk sebuah rantau yang aman dan makmur, justeru sebarang retorik yang menghalang perpaduan harus diketepikan.
“ASEAN sudah melalui pelbagai cabaran, bertahan dan berkembang, namun pengajaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini menguatkan lagi apa yang difahami oleh bapa pengasas kita dahulu, iaitu perpaduan, kesepaduan serta kepusatan kita bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai dasar yang terjamin.

“Ia melalui turun naik sepanjang hampir enam dekad kewujudan kita.
“Justeru, usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan mesti diteruskan, terutama apabila rantau ini sedang berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Syarahan Presiden dan Penerimaan Anugerah Grand Collar of the Order of Timor-Leste, bertajuk ‘ASEAN dan Peranan Peranan Timor-Leste’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta, dan Perdana Menterinya, Kay Rala Xanana Gusmão.

Anwar turut menekankan bahawa peningkatan jenayah rentas sempadan, persaingan kuasa besar yang memecahbelahkan, ketidaksamaan ekonomi dan pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang serta norma antarabangsa, adalah cabaran besar yang memerlukan tekad kuat untuk ditangani.
Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang lebih sukar dan berbahaya ialah kekejaman yang dilakukan terhadap golongan lemah serta tertindas, seperti pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
“Rakyat Timor-Leste tidak perlu diberitahu atau diajar mengenai apa itu penindasan, dipenjarakan, dianiaya atau melalui keganasan serta pertumpahan darah, kerana anda sendiri sudah melalui dan menanggung segala kekacauan serta kekejaman itu.

“Bagaimanapun, anda juga bangkit dengan lebih kuat, tahan uji dan bertekad untuk tidak membenarkan kekejaman seperti itu berlaku ke atas diri anda atau mana-mana golongan rentan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Timor-Leste dijangka menyertai ASEAN sebagai negara anggota ke-11 pada bulan depan – satu detik bersejarah yang sudah lama disokong dan diperjuangkan oleh Malaysia.
“Apabila orang bertanya kepada saya, mengapa anda begitu tegas dalam memastikan Timor-Leste menjadi ahli penuh ASEAN secepat mungkin? Jawapan saya adalah mudah.

“Sama ada sesebuah negara itu baru merdeka atau agak miskin, adalah tidak penting. Ia adalah sebahagian daripada rantau kita dan mempunyai pengalaman yang besar dan akan menyumbang dengan begitu banyak kepada usaha kita untuk memperkukuhkan ikatan ASEAN.
“Presiden, anda, kerajaan dan negara anda sudah bertahan, seperti yang saya nyatakan, melalui proses untuk menjadi ahli penuh ASEAN dan kini kita berada di ambang penyesuaian yang wajar serta benar-benar layak diterima,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menerima penganugerahan ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’ – salah satu anugerah tertinggi negara itu – sebagai pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam menyokong pembangunan dan kerjasama serantau.

Anwar mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Timor-Leste, bermula semalam, atas jemputan rakan sejawatnya.
Lawatan itu memfokus kepada matlamat memperkukuhkan hubungan dua hala sambil menyokong kesediaan Timor-Leste untuk menjadi ahli ke-11 blok serantau ASEAN.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
