ASEAN 2025: Grid Tenaga ASEAN Bukan Lagi Retorik, Diterjemah Dalam Pelaksanaan – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek mega Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura dilihat sebagai pencapaian paling signifikan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, ia bukan sekadar pengumuman retorik, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan program dan projek, sejajar dengan dasar peralihan tenaga negara.
Dalam masa sama, Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN disegerakan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan.

Terdahulu, Malaysia, Singapura dan Vietnam hari ini mencipta sejarah dengan menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui dari sumber tenaga angin luar pesisir antara ketiga-tiga negara.
“Di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, saya bersama rakan sejawat dari Singapura dan Vietnam telah menyaksikan pertukaran perjanjian penting ini yang melibatkan MY Energy Consortium dari Malaysia (gabungan TNB dan PETRONAS), PTSC dari Vietnam (anak syarikat Petrovietnam), serta Sembcorp Utilities dari Singapura,” katanya.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, projek ini memberi tumpuan kepada pemanfaatan sumber tenaga angin luar pesisir Vietnam bagi menjana elektrik bersih yang akan disalurkan merentasi sempadan melalui kabel dasar laut yang dicadangkan, dan disambungkan ke grid nasional di Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini sejajar dengan visi Grid Kuasa ASEAN dan menyokong agenda nyahkarbon serantau, bertujuan menyediakan bekalan elektrik yang stabil, rendah karbon, serta memperkukuh kerjasama tenaga serantau dan membangunkan model perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan yang berskala.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk terus memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh integrasi serantau, dan membina masa depan rendah karbon untuk seluruh rantau ini,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik yang ditemui selepas majlis itu turut menyuarakan komitmen syarikat dalam menjayakan kerjasama strategik berkenaan.

Beliau menyifatkan, majlis pertukaran perjanjian itu adalah satu mercu tanda kejayaan besar, bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga Vietnam dan Singapura.
“Ia melambangkan kerjasama dalam era pembersihan sistem tenaga dan kami amat bangga bekerjasama dengan TNB, PTSC dan Sembcorp,” katanya.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata apa yang disaksikan hari ini adalah bahagian pertama usaha sama antara negara ASEAN bertujuan menjadikan Grid Kuasa ASEAN sebagai realiti.

Beliau berkata, langkah seterusnya ialah melaksanakan kajian daya maju bagi menilai secara terperinci bagi usaha itu.
Di bawah perjanjian itu, konsortium akan menilai kebolehlaksanaan mengeksport TBB daripada Vietnam ke Malaysia dan Singapura melalui kabel dasar laut baharu.
Bagi tujuan itu, konsortium akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara yang berkaitan di seluruh proses pembangunan, mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi pelbagai fasa projek, serta membuka jalan untuk penyepaduan kuasa serantau yang penting dan kesalinghubungan tenaga.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama usaha yang memajukan kemampanan, daya tahan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
