ART: ‘Kalau Mereka Pilih Untuk Terus Menyerang, Itu Soal Pertimbangan Politik’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi sidang media selepas berakhirnya Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan pada 1 November 2025. Foto PMO
GYEONGJU, 1 Nov – Dakwaan segelintir pihak kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) menggadai dan memudaratkan negara hanya bersifat politik semata-mata, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, dalam mana-mana perundingan pastinya mempunyai give and take (bertolak ansur), lebih-lebih lagi apabila melibatkan hubungan dan pelaburan yang besar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan tetap berpegang pada pendirian bahawa Malaysia tetap mementingkan dan menjaga maruah dalam mengendalikan mana-mana perjanjian terutamanya melibatkan keselamatan, kedaulatan dan kebebasan negara.

Malah, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga telah memberikan penjelasan panjang lebar mengenai perjanjian itu di hadapan ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 19 Ogos lalu.
“Jadi, kalaupun kita nak pertikai satu dua perkataan dalam perjanjian itu, tetapi dia (segelintir pihak) menolak, (jadi) kita memutuskan, saya (kata) tak payah kita jelaskan, (sebab) dah berulang kali dijelaskan begitu baik oleh Tengku Zafrul di Parlimen.

“Kalau mereka pilih untuk terus menyerang, itu soal pertimbangan politik,” kata beliau kepada pemberita selepas berakhir hari pertama Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan ART sebagai satu penyerahan kebebasan ekonomi selain mengandungi pelbagai peruntukan ‘jerangkap samar’ atau ‘bom jangka’ yang boleh memudaratkan Malaysia pada masa akan datang.

“Perjanjian ini bukan satu-satunya perjanjian di dunia. Perjanjian ini berlaku bagi semua negara, dan kita lihat keseluruhan konteksnya dan juga implikasi, dan apa ruang untuk kita… bukan mengelak, tetapi ruang untuk kita mencari jalan alternatif. Perjanjian semua begitu,” kata Anwar.
“Tetapi yang penting, apakah kita boleh menafikan kepentingan hubungan baik kita dengan AS? Tidak boleh. Kita ada pertemuan dengan (Presiden AS) Donald Trump, kita ada pertemuan dengan Perdana Menteri China Li Qiang, berhati-hati membincangkan soal-soal secara terperinci termasuk semikonduktor dan nadir bumi.

“Soal itu semua dibincangkan. Jadi, untuk mengatakan kita buat ini (untuk) menyerah kepada Amerika, itu satu pembohongan,” kata Anwar.
Anwar turut menegaskan bahawa pemeteraian ART telah mengambil kira kepentingan nasional dan undang-undang negara, yang menjadi dorongan utama bagi memastikan kejayaan Malaysia.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan, bukan dengan kemarahan, pertelingkahan yang berlarutan.
“Ada masanya… adakah kita berkompromi atau mengalah dalam pendirian kita mengenai isu Gaza? Tidak. Adakah saya memberitahu Trump untuk bersetuju dengan semua aspek? Tidak. Kami menyatakan bahawa kami menyokong fasa pertama, kami mahukan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
