APEC 2025: PM Anwar Bidas Mahathir, Muhyiddin Konon ‘Korbankan Kemerdekaan’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari pertama Sidang Kerjasama Pemimpin Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Oktober 2025. Foto Bernama

GYEONGJU, 31 Okt – Tuduhan Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassn kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS), seolah-olah negara ‘mengorbankan kemerdekaan’, pantas dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, dakwaan dibuat bekas Perdana Menteri itu tidak wajar diambil serius kerana ia berdasarkan maklumat yang tidak tepat.

Ulasan Anwar terhadap kedua-dua bekas perdana menteri itu dibuat setelah selesai hari pertama Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media selepas hari pertama Sidang Kerjasama Pemimpin Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Oktober 2025. Foto Bernama

“Biarlah Tun Mahathir itu. Kenapa ganggu dia? Kalau dia marah, dia marah terus apa pun, jadi biarlah.

“Saya tak fikir kita patut serius dengan pandangan dia kerana dia itu bergantung kepada taklimat yang diberikan. Takkan dia nak teliti semua secara terperinci, mencerakin, menelusuri kandungan itu. Tidak,” katanya.

Anwar mengulas kenyataan dua bekas Perdana Menteri berhubung perjanjian perdagangan bersama AS itu.

Laporan sebelum ini menyebut Mahatir mendakwa Malaysia telah mengorbankan kemerdekaan dengan membenarkan AS mengenakan kehendaknya menerusi perjanjian itu.

Manakala, Muhyiddin mendakwa perjanjian itu mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa setiap rundingan perdagangan antarabangsa termasuk melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan, sememangnya memerlukan timbang tara.

“Kalau betul kita hanya bagi monopoli sepenuhnya kepada AS, bagaimana boleh kita tangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara China?

“Dan bagaimana hari ini kita boleh bincang dengan JS Link, dengan Lynas, (berkenaan) nadir bumi oleh syarikat Korea Selatan?,” soal Anwar.

Katanya, semua negara berunding dengan AS, berkenaan dengan tarif termasuk kuasa besar China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi ketika hadir pada hari pertama sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju pada 31 Oktober 2025. Foto Instagram

“Dalam mana-mana perundingan ada tolak ansur, apatah lagi pelaburan dia besar, hubungan dia besar. Tapi kita jaga maruah kita,” ujarnya.

Anwar turut menegaskan pentingnya diplomasi yang matang dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam pelaburan global.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *