Apa Sudah Jadi Jerman?

Pemain Slovakia Leo Sauer (berbaju biru) melepasi kawalan pertahanan Jerman yang tewas 0-2 ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan A di Bratislava pada 4 September 2025. Foto Reuters
BRATISLAVA, 5 Sep – Gergasi Eropah, Jerman dikejutkan dengan kekalahan 2-0 di tangan Slovakia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan A, sekali gus mencatat kekalahan pertama mereka di tempat lawan dalam sejarah kelayakan kejohanan itu.
Juara dunia empat kali itu, yang mensasarkan kejuaraan kelima pada edisi tahun 2026, kini tewas tiga kali berturut-turut selepas tumbang kepada Portugal dan Perancis dalam saingan Liga Negara-Negara pada Jun lalu.
“Kami tidak menunjukkan emosi dalam permainan hari ini. Daripada segi semangat, lawan jauh lebih baik daripada kami.
“Kami mahu ke Piala Dunia, tetapi hari ini kami jauh daripada sasaran itu. Kami memilih pemain terbaik di Jerman, tetapi mungkin kami perlu lebih mengutamakan mereka yang benar-benar sanggup berjuang,” kata pengendali Jerman, Julian Nagelsmann.

Jerman yang kali terakhir bergelar juara dunia pada tahun 2014, tampak goyah sejak awal apabila Lubomir Satka hampir membuka jaringan seawal saat pertama perlawanan.
Penjaga gol Oliver Baumann kemudian menafikan percubaan Leo Sauer pada minit ke-21, namun amaran itu tidak diendahkan pasukan pelawat.
Kesilapan Florian Wirtz pada minit ke-42 membuka ruang serangan balas pantas Slovakia yang disempurnakan David Hanchko untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Selepas babak pertama yang hambar, Jerman tampil lebih agresif sebaik permainan bersambung dan Leon Goretzka hampir menyamakan kedudukan.
Namun Slovakia sekali lagi menghukum lawan apabila David Strelec memperdaya Antonio Ruediger sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Baumann pada minit ke-55.
Selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada dua edisi Piala Dunia terdahulu, Jerman sekali lagi gagal menunjukkan kebangkitan apabila buntu mencipta peluang dan kurang idea di bahagian serangan.
Slovakia akan berkunjung ke Luxembourg pada aksi Kumpulan A seterusnya Ahad ini, manakala Jerman menanti kunjungan Ireland Utara di laman sendiri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

