Andre Lai Iringi PM Anwar Ke Rumah Terbuka MCA, KLSCAH, Bukti Semangat Kerajaan Perpaduan Tulen

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai (kiri) bersama Hee Loy Sian (dua dari kiri) dan Chan Ming Kai (kanan) mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina 2024 anjuran MCA pagi tadi. Foto Instagram Andre Lai
KUALA LUMPUR, 10 Feb – Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi rumah terbuka anjuran MCA dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bersama pemimpin Cina KEADILAN dan barisan jemaah menteri hari ini.
Menurutnya, sambutan orang ramai di luar dugaan sebaik Perdana Menteri tiba kira-kira jam 10 pagi dengan berpakaian serba merah diiringi tarian singa sebagai pembuka acara.
“Antara menteri kabinet KEADILAN yang hadir ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathi Kandasami dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.
“Turut hadir bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri Chan Ming Kai dan Pengarah SW Corporation, Hee Loy Sian,” ujar beliau menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Sementara wakil dari KEADILAN Wilayah Persekutuan pula termasuk Pengerusi EKSAIS Wilayah Persekutuan, Dr Ronald Pua dan Ahli Lembaga MSWP. Jacky Wee Hong Tan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diberi penghormatan menggaul ‘yee sang’ bersama pimpinan negara termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kenamaan lain.
“Saya berjumpa dengan ramai kenalan lama MCA seperti Chris Daniel Wong dan Daniel Ling di rumah terbuka ini.
“Sukar dibayangkan bahawa kita sebenarnya boleh duduk semeja di lokasi yang dahulunya ‘pantang larang’ seperti Dewan San Choon atau PWTC. Inilah semangat kerajaan perpaduan yang tulen.

“Kehadiran PMX membawa semangat Malaysia MADANI memeriahkan lagi sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Semoga Malaysia terus mencapai kejayaan pada tahun Naga,” ujarnya.
Hadirin dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan tarian klasik Cina disusuli dengan hidangan enak bercirikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Di KLSCAH pula, Anwar turut menggaul ‘yee sang’ menambah keceriaan dan keharmonian yang terukir bersama hadirin pelbagai kaum yang meraikan kehadiran beliau dan para tetamu pada acara hari ini.
Beliau diraikan lebih 500 tetamu yang hadir seawal jam 10 pagi lagi disulami dengan persembahan tarian singa dan pertunjukan kebudayaan kaum Tionghua oleh barisan penyanyi tempatan.
Presiden KEADILAN itu yang tiba kira-kira jam 11.45 pagi ceria disambut Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.
Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
