Amaran Tsunami Di Rusia, Jepun Ditarik Balik

Gelombang tsunami setinggi tiga meter melanda pantai Kamchatka, Rusia setelah gempa bumi sekuat 8.8 menggegar awal pagi 30 Julai 2025. Foto AFP
MOSCOW, 31 Jul – Pihak berkuasa Rusia menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat yang melanda pesisir timur jauh negara itu awal pagi Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tiada gelombang banjir besar direkodkan di Semenanjung Kamchatka, yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pusat gempa, menurut Kementerian Pertahanan Awam di Telegram.
Kebanyakan bangunan di semenanjung itu berjaya menahan gegaran gempa bumi dan pemeriksaan terhadap struktur bangunan masih dijalankan, menurut pihak berkuasa.

Sebuah pantai dikosongkan kerana risiko tsunami, dengan pasukan penyelamat membawa kira-kira 60 orang ke kawasan selamat, menurut kenyataan itu.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata, tiada kematian dilaporkan setakat ini dan sistem amaran berfungsi dengan baik.
Sementara itu, amaran tsunami di pesisir Jepun turut ditarik balik beberapa jam selepas gempa bumi besar melanda pesisir Semenanjung Kamchatka, Rusia, awal pagi Rabu.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menurunkan tahap amaran ke paras paling rendah pada petang Rabu, menurut penyiar tempatan NHK, selepas pihak berkuasa sebelum itu memberi amaran mengenai gelombang ombak berpotensi setinggi tiga meter.
Penduduk di sepanjang pantai Pasifik Jepun, bagaimanapun diminta terus berwaspada, selepas ombak setinggi 1.3 meter direkodkan di beberapa kawasan. Lebih dua juta orang terlibat dalam arahan pemindahan.
Gempa bumi besar itu mencetuskan amaran tsunami kepada jutaan orang di seluruh rantau Pasifik, termasuk di Jepun, Amerika Syarikat dan Mexico.
Namun, beberapa jam selepas gempa menggegarkan Timur Jauh Rusia, tiada kerosakan besar dilaporkan pada Rabu. Di banyak kawasan, amaran tsunami ditarik balik atau diturunkan tahapnya.
Gempa bumi utama berlaku kira-kira pukul 11.24 pagi waktu tempatan (2324 GMT Selasa) dan dicatatkan pada 8.8 skala ritcher oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menjadikannya gempa terkuat di dunia sejak bencana Fukushima di Jepun pada Mac 2011 dan antara enam gempa paling kuat pernah direkodkan. Pihak berkuasa Rusia pula melaporkannya pada magnitud 8.7.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
