Ahmad Dhani Bertemu PM Anwar Esok

Penganjur konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia Dewa 19, Iman Tang (tengah) bersama Ahmad Dhani (kiri) semasa sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto Facebook
KUALA LUMPUR, 28 Sep – Penganjur Konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia Dewa 19, Iman Tang, memaklumkan akan berkunjung ke Pejabat Perdana Menteri bersama Ahmad Dhani di Putrajaya pada petang esok.
Ia bertujuan untuk menyampaikan undangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir menyaksikan konsert yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam esok.
“Kita akan ke PMO (Pejabat Perdana Menteri) untuk berjumpa PMX. Kebetulan esok ada acara Maulidur Rasul.

“InsyaAllah…selepas itu Perdana Menteri datang. Sebenarnya dia memang nak jumpa Dhani dan Dhani pun nak jumpa dia.
“Dulu kita jumpa juga di Jakarta. Kali ini sebagai tuan rumah dia (PMX) nak jumpa Ahmad Dhani,” katanya ketika ditemui pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Ahmad Dhani yang juga pengasas kumpulan Dewa 19, berkata, dia berharap Datuk Seri Anwar boleh membuat perubahan besar kepada Malaysia.
“Saya berharap besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk boleh membawa dan mewujudkan harapan kepada rakyat Malaysia kerana Perdana Menteri pernah masuk penjara juga kan.
“Cuma bezanya beliau 11 tahun, saya 11 bulan. Saya berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang paling bagus dalam sejarah di Malaysia kerana supaya saya juga boleh menjadi contoh di Indonesia,” katanya.
Terdahulu kedua-dua figura hebat ini menjadi perhatian apabila Ahmad Dhani memuat naik keterangan ringkas di Instagramnya berbunyi “Sama-sama pernah dipenjara.”
Menerusi hantaran itu, Ahmad Dhani yang juga penyanyi dan pemain keyboard kumpulan Dewa 19 memuat naik gambar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Temu Anwar Jakarta.
Dalam gambar pertemuan awal September itu, kelihatan Ahmad Dhani menggenggam tangan Anwar sambil tersenyum depan kamera.
Sementara Konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia yang akan dikendalikan konduktor muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito, bakal diiringi seramai 54 Piece Ahmad Dhani Malaysian Orchestra.
Dewa 19 turut berkolaborasi dengan tiga artis tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi bagi memeriahkan konsert berkenaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
