Agong Tak Layan Permintaan Mana-Mana Pihak Gugat Kestabilan Politik Negara

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15. Foto Instagram Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.
Baginda bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.
“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini.
Baginda turut menyeru kepada semua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang supaya bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan diletakkan di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat kerana Yang Berhormat semua telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka di dalam Kerajaan.
“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana,” titah baginda.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 24 November 2022 setelah Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10.
Kerajaan Perpaduan dititah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membentuk kerajaan dan anggota jemaah menteri dilantik pada 2 Disember 2022.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
