AGC Fail Notis Rayuan Keputusan Bebas Syed Saddiq

Syed Saddiq didapati bersalah pada November 2023 atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Pemuda Bersatu lebih RM1 juta.
PUTRAJAYA, 26 Jun – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dalam kenyataan, AGC berkata proses rayuan itu sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah.
“la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang telus,” katanya.
Semalam, Hakim Noorin Badaruddin dalam membenarkan rayuan bekas menteri belia dan sukan itu berkata perayu sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri semasa perbicaraan.
Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penyelewengan secara tidak jujur.
Syed Saddiq didapati bersalah pada November 2023 atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Pemuda Bersatu lebih RM1 juta dan satu lagi pertuduhan salah guna harta secara tidak jujur, iaitu wang lebih RM120,000 milik sayap itu.
Bekas ketua Pemuda Bersatu itu turut disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan sayap terbabit, Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan atas pertuduhan pecah amanah, dua tahun dan satu lagi sebatan atas tuduhan penyelewengan dan dua tahun penjara atas kesalahan pengubahan wang haram.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

