ADUN Pas Buat Hal Lagi

Faizul Abdul Ghani kesal dengan tindakan ADUN Manjoi daripada Pas yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu. Foto Faizul Abdul Ghani
PENDAPAT, 2 Sep – Kenyataan tidak cermat tanpa usul periksa serta dibuat dengan berniat mencetuskan api perkauman amat berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.
Itulah yang terjadi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi daripada Pas, Mohd Hafez Sabri yang menerima kecaman daripada rakyat kerana mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman yang tidak sewajarnya dilakukan sekali gus mencemarkan sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Penganalisis politik turut kesal dengan sikap ADUN berkenaan kerana sebagai seorang wakil rakyat yang bergelar ‘ustaz’ seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan bukan membuat kenyataan terburu-buru tanpa menyemak fakta terlebih dahulu.

“Insiden yang berlaku ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak tidak wajar dijadikan modal untuk meniupkan api perkauman apatah lagi siasatan pihak berkuasa mendapati wanita terbabit bukannya berbangsa Cina tetapi Melayu yang sudah pun direman tiga hari bagi membantu siasatan.
“Apakah pemimpin Pas sudah ketandusan isu untuk dimainkan malah tidak serik-serik menggunakan sentimen 3R demi keuntungan politik sempit mereka? Tidakkah mereka merasa bersalah kerana menimbulkan ketegangan yang tidak wajar berlaku?,” soal Faizul Abdul Ghani.
Beliau juga kesal dengan sikap ADUN berkenaan kerana tidak mengakui kesalahannya menyebarkan fitnah sehinggalah kecaman dilempar barulah memohon maaf tetapi tetap mempertikai penyebaran berita palsu yang diciptanya sendiri.

“Mohd Hafez seharusnya bertanggungjawab sebagai seorang pemimpin Pas menjadi contoh kepada rakyat dengan memberi pandangan membina bagaimana mahu memajukan negerinya dan bukan bermain sentimen perkauman untuk ‘mencipta’ kontroversi yang akhirnya menyusahkan diri sendiri,” tegasnya.
Nada serupa turut dilontar Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu yang berkata, sebagai seorang wakil rakyat, pemimpin seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan bukan membuat kenyataan terburu-buru tanpa menyemak fakta terlebih dahulu.
“Kenyataan sedemikian bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menimbulkan kebencian antara kaum. Mengaitkan bangsa dalam sesuatu insiden adalah tindakan tidak adil dan berbahaya,” katanya.
Perbuatan sedemikian tambahnya, boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat seolah-olah seluruh kaum bertanggungjawab atas tindakan individu tertentu sedangkan perkara tersebut belum disiasat secara menyeluruh.
Beliau turut menggesa supaya semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menentukan kebenaran berhubung insiden tersebut.
Tindakan tegas daripada pihak berkuasa amat penting bagi menjaga keharmonian kaum dan agama di negara ini, apatah lagi dilakukan seorang pemimpin yang kononnya mengamalkan ajaran Islam sedang hakikatnya bertindak tanpa usul periksa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

