87 Pub Diserbu, Berjaya ‘Pukat’ 215 GRO

Semua yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk dokumentasi dan siasatan lanjut. Foto arkib
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Sebanyak 66 pusat hiburan di seluruh negara dikesan beroperasi tanpa lesen sah selepas diperiksa dalam serbuan Op Noda pada 22 dan 23 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya bersama kontinjen negeri telah melakukan pemeriksaan terhadap 87 premis hiburan dalam operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan bukan sahaja menemui majoriti premis tidak berlesen, malah turut menahan pemilik premis, pekerja, pelanggan serta 215 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing berusia 22 hingga 38 tahun.

“Mereka terdiri daripada 76 warga Thailand, Indonesia (35), Vietnam (65), Myanmar (28), China (5), Laos (2) dan Kemboja (4).
“Semua yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, operasi yang dijalankan secara serentak itu melibatkan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama kontinjen negeri.
Katanya, kesemua tangkapan itu disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, tindakan turut diambil mengikut Enakmen atau Ordinan Hiburan negeri masing-masing.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk membantu membanteras aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

