3R: Kertas Siasatan Dibuka Terhadap Tony Pua Sentuh Raja Berpelembagaan, Rukun Negara

Tony Pua akan dipanggil polis susulan hantaran dimuat naik di Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Satu kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, dibuka susulan hantaran dimuat naik di Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara berhubung hantaran berkenaan.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima 28 laporan polis dari seluruh negara.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kumar juga berkata, semua pihak berkaitan termasuk Tony akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.
“Sudah tentu, kita akan memanggil semua pihak yang terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang ditulis di plak di situ selain menghormati institusi raja.
Susulan itu, Tony Pua dalam hantaran di Facebook menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hantaran itu mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin politik yang membidas kenyataan biadab itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
