16 Ketua Wanita Cabang, Timbalan Tolak Dakwaan Ketua Wanita KEADILAN Sabah

Kenyataan media 16 Ketua Wanita Cabang dan Timbalan Ketua Wanita Cabang menafikan dakwaan yang dibuat pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini. Foto Facebook PKR Sabah
KOTA KINABALU, 20 Mac – Setelah 15 Ketua Cabang KEADILAN Sabah menolak kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Sangkar Rasam pada Isnin, kini 16 Ketua Wanita Cabang KEADILAN Sabah pula tampil menolak dakwaan Ketua Wanita KEADILAN negeri pada sidang media hari ini yang dibuat tanpa perbincangan dan pengetahuan mereka.
Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sebentar tadi, mereka mengambil maklum akan satu sidang media yang telah dibuat oleh Ketua Wanita KEADILAN negeri serta lima Ketua wanita Cabang berkaitan kemelut antara majoriti Ketua-Ketua Cabang KEADILAN Sabah dengan Sangkar.
“Di sini kami ingin nyatakan bahawa kami tidak pernah membuat sebarang perbincangan samada menyokong mahupun menolak kepimpinan Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Keadilan Sabah.
“Kami berpandangan biarlah kemelut ini diselesaikan sendiri oleh Ketua-Ketua Cabang dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti,” kata kenyataan itu.
Antara Ketua Wanita Cabang yang memperakui kenyataan itu ialah dari Kota Kinabalu, Kota Marudu, Papar, Tuaran, Kota Belud, Sandakan dan Beluran.

Tambah kenyataan itu lagi, mereka tidak bersetuju dengan cara Ketua Wanita KEADILAN negeri, Noriha Yakub menggunakan kedudukan beliau untuk membuat keputusan bagi pihak mereka tanpa mengadakan sebarang perbincangan.
Mereka menggesa Wanita KEADILAN negeri agar tidak perlu mencampuri urusan berkenaan sebaliknya memfokuskan kepada memperkukuh hubungan Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Sabah serta melakukan kerja kerja memperkasa hal ehwal Wanita Sabah.
Ia sekaligus mempersoalkan motif di sebalik laporan yang menyebut Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan Srikandi KEADILAN Sabah pada Rabu mendakwa menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong Sangkar sebagai pengerusi.
Menurut Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, sidang akhbar yang diadakan secara bersama itu sebagai maklum balas berhubung kenyataan membabitkan 15 ketua cabang yang menolak kepimpinan Sangkar pada Isnin lalu.
“Kami lihat kenyataan 15 ketua cabang untuk menukar Pengerusi MPN Sabah ini tidak pernah berbangkit di mesyuarat sebelum ini.
“Kita telah melalui lima mesyuarat tahunan pada tahun lepas dan tidak pernah berbangkit sekalipun agenda untuk menukar sehingga pada Ahad lepas Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin telah berdiri dan meminta Sangkar secara terhormat meletakkan jawatan atas beberapa sebab jelas,” katanya dalam sidang akhbar tersebut di Pejabat MPN negeri di sini pada Rabu.
Sangkar dilantik pada Ogos 2022 menerusi sokongan ketua-ketua cabang ketika itu namun difahamkan berlaku rasa tidak puas hati ekoran pelbagai masalah seperti persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mandat semasa akan berakhir tahun depan.
————
KENYATAAN MEDIA KETUA-KETUA WANITA KEADILAN SABAH
20 MAC 2024, RABU
Kami mengambil maklum akan satu sidang media yang telah dibuat oleh Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sabah serta lima Ketua wanita Cabang sebentar tadi berkaitan kemelut antara majoriti Ketua-Ketua Cabang Keadilan di Sabah dengan Pengerusi Keadilan Negeri.
Di sini kami ingin nyatakan bahawa kami tidak pernah membuat sebarang perbincangan samada menyokong mahupun menolak kepimpinan Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Keadilan Sabah.
Kami berpandangan biarlah kemelut ini diselesaikan sendiri oleh Ketua-Ketua Cabang dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti.
Kami tidak bersetuju dengan cara Ketua Wanita Keadilan Sabah menggunakan kedudukan beliau untuk membuat keputusan bagi pihak kami tanpa mengadakan sebarang perbincangan. Malah kami tidak tahu tujuan sidang media ini.
Rombakan KEADILAN Sabah Perlu Bila Pengerusi Hilang Sokongan Majoriti – Raymond
Sejak awal kami telah nyatakan bahawa Wanita Keadilan Sabah tidak perlu mencampuri urusan ini sebaliknya fokus kepada memperkukuh hubungan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Sabah serta melakukan kerja kerja memperkasa hal ehwal Wanita Sabah.
Sekian
Kenyataan Bersama:
1. Ketua Wanita Cabang Tuaran
2. Ketua Wanita Cabang Kota Marudu
3. Ketua Wanita Cabang Kota Belud
4. Ketua Wanita Cabang Kota Kinabalu
5. Ketua Wanita Cabang Papar
6. Ketua Wanita Cabang Kimanis
7. Ketua Wanita Cabang Beaufort
8. Ketua Wanita Cabang Beluran
9. Ketua Wanita Cabang Sandakan
10. Ketua Wanita Cabang Batu Sapi
11. Ketua Wanita Cabang Kinabatangan
12. Ketua Wanita Cabang Silam
13. Ketua Wanita Cabang Semporna
14. Ketua Wanita Cabang Kalabakan
15. Ketua Wanita Cabang Tawau
16. Timb.Ketua Wanita Cabang Libaran
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
