Warga Emas Cedera Terjun Tingkap Dari Rumah Terbakar

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah milik seorang lelaki warga emas di Tudan Desaras, Miri pada 25 Jun 2025. Foto JBPM

MIRI, 26 Jun – Seorang lelaki warga emas cedera ringan selepas terjun dari tingkap dapur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran yang meranapkan rumahnya di Tudan Desaras di sini, malam Rabu.

Mangsa, Manggie Baong, 65, dilaporkan telah mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang badannya.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 10 malam itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis sedan yang diletakkan di kawasan berhmpiran.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 10.09 malam.

Sebaik maklumat diterima katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dan pasukan bantuan dari BBP Lopeng telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 13 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur separuh kekal berukuran lebih kurang 30×40 kaki dan api yang marak telah memusnahkan seluruh rumah berkenaan.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis sedan yang diletakkan di bahagian hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi Khamis.

Menurutnya, pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan beberapa aliran air dari pili bomba sehingga api dapat dipadamkan dan operasi tamat sepenuhnya jam 12.10 tengah malam.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Difahamkan, mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

Turut hadir di lokasi ialah Ketua Balai BBP Lutong Henry Jugah, lima anggota polis dan seorang kakitangan Sarawak Energy Berhad.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *