Wanita KEADILAN Lancar ASAK, Perkasa Tadbir Urus Secara Digital

Menteri Pendidikan merangkap Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek, berucap melancarkan Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) sempena Hari Wanita Sedunia di Setia Alam, hari ini. Foto Bernama

SHAH ALAM, 2 Mac – Wanita KEADILAN hari ini melancarkan Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) bagi memperkasakan pengurusan dan tadbir urus cabang wanita parti itu secara digital.

Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek, berkata sistem ASAK adalah laman rasmi tertutup yang dibangunkan bagi mengatasi isu-isu berbangkit antaranya penyelarasan pengurusan keahlian dan dokumentasi di peringkat negeri dan pusat.

“Sistem ini akan digunakan sepenuhnya untuk mengurus dan mentadbir khususnya yang terkait rapat dengan data-data pengurusan Wanita KEADILAN.

“Kita harap program ini benar-benar dapat mencapai maksud dan hasrat kita khususnya dalam konteks menyambut hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan pembudayaan digital dalam kalangan masyarakat dan kita bermula dengan parti dan Wanita KEADILAN,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Sistem ASAK di sini, hari ini.

Beliau turut berharap sistem berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya menjelang Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang dan Kongres Wanita KEADILAN tahun ini.

Menteri Pendidikan merangkap Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek, berucap melancarkan Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) sempena Hari Wanita Sedunia di Setia Alam, hari ini. Foto Bernama

Dalam pada itu, Setiausaha Wanita Pusat bagi Sayap Wanita KEADILAN (KEADILAN), Loh Ker Chean, berkata fasa dua pelaksanaan Sistem ASAK akan membabitkan ciri analisis data berkaitan demografi anggota wanitanya di setiap kawasan yang antara lain untuk memudahkan urusan pemberian bantuan.

Sistem ASAK yang merangkumi komponen maklumat, pengurusan surat-menyurat, organisasi, mesyuarat dan takwim akan memantapkan dan menyeragamkan tadbir urus Wanita PKR dari peringkat kepimpinan pusat hingga ranting.

Bagi memberi kefahaman dan penerangan mengenai penggunaan sistem itu, katanya, sesi taklimat secara dalam talian akan dilaksanakan bulan ini.

Selain itu, Wanita KEADILAN melalui Sukarelawan ASAK juga akan turun ke negeri-negeri bagi siri jelajah dan latihan yang akan dilaksanakan pada April sehingga Julai tahun ini. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *