Wanita Bukan Sekadar Pelengkap, Tetapi Nadi Kekuatan Kedaulatan Negara

Daripada dewan Parlimen hingga ke lorong-lorong perumahan, martabat wanita yang diangkat akan secara langsung memperkukuhkan ketahanan dan kedaulatan negara. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 8 Mac – Sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini bukan sekadar sebuah simbolik tahunan, tetapi satu pengiktirafan mendalam terhadap tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara.”
Di bawah kerangka Malaysia MADANI, kita mengakui bahawa kestabilan dan kemajuan sebuah negara tidak akan sempurna tanpa penglibatan wanita sebagai arkitek utama masa depan.
Aliran sejarah dunia telah diwarnai oleh kecekalan tokoh-tokoh ikonik; daripada Florence Nightingale yang merobah dunia kejururawatan, Marie Curie yang memecah tradisi sains, hingga kepada keberanian Rosa Parks dalam menuntut keadilan hak asasi.

Semangat kental mereka membuktikan bahawa apabila wanita diberikan ruang, mereka bukan sahaja mampu memimpin, malah mampu merombak sistem menjadi lebih adil dan manusiawi.
Dalam hayat politik saya sendiri, saya amat bertuah kerana perjalanan ini dibentuk dan dibimbing oleh barisan pemimpin wanita luar biasa yang saya anggap sebagai mentor.
Saya beroleh ilmu daripada susuk reformasi, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, serta berkhidmat di bawah kepimpinan berdedikasi YB Elizabeth Wong, YB June Leow Hsiad Hui dan YB Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew.

Pengalaman saya di peringkat pentadbiran bandaraya pula diperkukuhkan melalui kerjasama strategik dengan Menteri YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa serta Mantan Datuk Bandar, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif. Kerjasama ini membuktikan satu perkara: kepimpinan wanita membawa perspektif unik, gabungan antara ketegasan profesional dan empati yang mendalam dalam menyantuni setiap isu rakyat.
Namun, kekuatan sebenar saya di lapangan tetap berakar umbi daripada wanita di peringkat komuniti. Mereka adalah tulang belakang yang bekerja tanpa henti di sebalik tabir, memastikan kebajikan setiap pintu rumah terjaga dan suara akar umbi didengari. Tanpa dedikasi para wanita dalam komuniti ini, matlamat untuk membina bandaraya yang sejahtera dan harmoni hanyalah sekadar impian.

Reformasi yang sebenar adalah apabila kita tidak lagi mempersoalkan “kuota”, sebaliknya mengiktiraf kredibiliti. Daripada dewan Parlimen hingga ke lorong-lorong perumahan, martabat wanita yang diangkat akan secara langsung memperkukuhkan ketahanan dan kedaulatan negara.
Terima kasih kepada semua mentor dan wanita yang telah memberi inspirasi serta membantu saya sepanjang hayat politik ini.
Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
