Wan Saiful Akhirnya Akur Letak Jawatan Tapi…

PENDAPAT, 22 Feb – Akhirnya Wan Saiful Wan Jan mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan BERSATU susulan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

Beliau berkata hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu untuk membuat keputusan.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untul membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu.

Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ringkasan kronologi pertuduhan terhadap Wan Saiful dan Adam Radlan berkaitan skandal projek Jana Wibawa.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sehari selepas didakwa, pengunduran Wan Saiful juga telah pun diterima Muhyiddin kononnya bagi ‘membezakan’ kluster mahkamah sebelum PRU-15 dan selepas PRU-15.

Apa yang Wan Saiful malah Muhyiddin sendiri tidak tahu adalah imej Bersatu malah PN sendiri telah mula dipersoalkan di peringkat akar umbi yang mengundi parti itu dan rakan mereka Pas di pantai timur.

Persoalan yang tidak hanya sekadar dapat dijawab dengan perkataan ‘saya sedia buktikan di mahkamah’ sebenarnya memerangkap PN dengan beban penjelasan menjelang pembubaran DUN di enam negeri pertengahan tahun ini.

Siapa suruh Wan Saiful minta dan ambil rasuah sebanyak RM6.9 juta daripada seorang tauke Cina yang dibantunya untuk mendapatkan projek Jana Wibawa itu?

Cakap-cakap di kedai kopi sejak Wan Saiful ditahan di SPRM Putrajaya malam Isnin lepas sehingga didakwa di mahkamah semalam menunjukkan rakyat amat mengikuti rapat perkembagan maklumat sehinggalah pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Rakyat terus memerhati setiap tindak-tanduk pembangkang lebih-lebih lagi khabar ada lagi yang akan ‘dipanggil’ dalam masa terdekat.

Ada lebih baik PN menumpukan masa untuk ‘menyelamatkan’ pemimpin mereka yang dijangka akan dipanggil satu persatu dalam masa terdekat biarpun beberapa penulis upahan mereka mula melabelkan kerajaan perpaduan ini sebagai kerajaan zalim.

Kini terpulang kepada Muhyiddin bagaimana menyelamatkan partinya dan PN cuma janganlah beliau atau pemimpin bawahannya tuduh kerajaan mengamalkan pendakwaan terpilih dan sebagainya hanya kerana gagal menjawab secara tuntas di Dewan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *