Wajah Malaysia Terserlah Di Bumi Kenya – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Kenya serta alumni Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) di Nairobi pada 24 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim
NAIROBI, 24 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dengan komuniti Malaysia di Kenya membuka lembaran baharu mengenai bagaimana komuniti itu yang tinggal di sini, terus mekar dengan kekuatan dan keunikan tersendiri.
Menurut Perdana Menteri, meskipun bertugas jauh dari tanah air, mereka menceritakan mengenai budaya kerja yang berlainan, keluarga dan penyesuaian budaya, selain cekal mengekalkan tutur, nilai dan kehangatan adab Malaysia yang begitu dikenali.

“Ada yang sudah menetap di Nairobi, ada yang baru berhijrah, tetapi semuanya membawa wajah Malaysia di setiap lapis kehidupan mereka di sini,” katanya dalam pertemuan bersama diaspora Malaysia, di sini.
Sebahagian yang hadir adalah dalam kalangan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dalam pelbagai bidang seperti pengurusan kemahiran, khidmat pendidikan teknikal dan sebagainya.

“Apa yang benar-benar membekas adalah rasa kekitaan dan kecintaan mereka terhadap Malaysia. Mereka mungkin tinggal nun jauh di benua Afrika, namun hati dan kalbu mereka tetap terikat dengan negara,” katanya.
Beliau berkata, dalam cara bekerja, bersahabat dan jati diri, komuniti Malaysia secara tidak langsung mengangkat nama Malaysia.

“Saya akan pulang ke tanah air dengan rasa bangga dan keyakinan bahawa hubungan seperti ini yang berpaksi pada ketulusan dan kejujuran akan terus menghubungkan Malaysia dengan dunia seluruhnya,” katanya.
MTCP adalah program latihan jangka pendek di bawah kerajaan Malaysia yang ditawarkan kepada negara membangun di seluruh dunia termasuk Kenya.

Program tersebut diperkenalkan pada 1980 sebagai komitmen Malaysia untuk berkongsi pengalaman pembangunan dengan negara sedang membangun.
Di bawah program itu, Malaysia menawarkan pelbagai kursus latihan jangka pendek, biasiswa serta program pembangunan kapasiti dalam bidang seperti pentadbiran awam, pendidikan, teknologi, ekonomi dan pengurusan sosial.

Setakat ini, katanya, lebih 600 pegawai di Kenya menerima manfaat daripada program tersebut.
Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di benua Afrika dengan jumlah perdagangan sebanyak RM5.7 bilion pada 2024, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada 2023.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
