VLN: Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Bebas Zahid

Zahid Hamidi dibebaskan daripada semua 40 tuduhan rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN).
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Zahid Hamidi dalam kes rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN) selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Ruzima Ghazali membatalkan rayuan tersebut.
“Kami membatalkan perkara ini selepas pendakwa raya menarik balik rayuan,” katanya.
Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.
Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan Zahid daripada semua 40 tuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta (RM4 juta), RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc (RM79,000) dan AS$15,000 (RM70,200) daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.
Pada 23 September 2022, Presiden UMNO itu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Pada 29 Disember tahun lalu, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada
40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China.
Pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes itu.
Pendakwaan mendakwa, hakim itu terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi Ahmad Zahid selepas dibebaskan pada 23 September lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




