Usah Jadikan Isu Muhyiddin Sebagai Sentimen Politik – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan membabitkan Muhyiddin diambil berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berkenaan secara terus dari Istana Pahang. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Kes pendakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan, tidak seharusnya dijadikan sentimen politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tindakan itu diambil berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berkenaan secara terus dari Istana Pahang.

“Laporan dibuat oleh Istana Pahang. Jadi tak usah dia pusing kerana dia nak main politik. Saya nak nasihat isu ini diangkat oleh Istana Pahang.

”Anda melanggar peraturan dan anda terlanjur. Anda perlulah berhadapan dengannya… laporan dibuat, polis ambil tindakan dan Ketua Polis Negara ambil tindakan susulan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa kononnya kerajaan hipokrit berhubung isu pendakwaan terhadap Muhyiddin.

Semalam, Ahli Parlimen Larut itu juga menyatakan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) secara zalim menggunakan Akta Hasutan selepas memegang tampuk kepimpinan, di samping mendakwa tindakan itu dibuat secara sengaja sebagai alat untuk menindas lawan politik.

Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada Selasa berhubung tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Baru-baru ini, Presiden Bersatu itu tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri 14 Ogos lalu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *