Universiti Malaya Kini Ke-58 Dunia

Universiti Malaya mencatat rekod pencapaian terbaiknya apabila berjaya menduduki tempat ke-58 dunia dalam QS World University Rankings 2026.
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Buat julung kali, Universiti Malaya (UM) mencatat rekod pencapaian terbaiknya apabila berjaya menduduki tempat ke-58 dunia dalam QS World University Rankings 2026.
Ia mengatasi kedudukan ke-60 pada tahun lalu dan menandakan prestasi terbaik pernah dicapai UM di persada global.
UM memperoleh skor secara keseluruhan sebanyak 80.1 iaitu satu pencapaian sangat baik dan diletakkan berdasarkan perbandingan dengan universiti terbaik dunia.
Berdasarkan laporan oleh QS World University Rankings 2026, Reputasi Majikan menunjukkan peratusan tertinggi diterima UM dengan skor sebanyak 96.7.
Ia diikuti Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (92.9); Reputasi Akademik (92.3); Kepelbagaian Pelajar (87.3); Bilangan Pelajar Antarabangsa (86.8) dan Kelestarian (84.7).
Ini bermakna, UM cemerlang dalam reputasi dengan majikan dan bidang akademik serta berjaya menarik ramai pelajar antarabangsa.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata peningkatan kedudukan UM ini mencerminkan komitmen teguh dan fokus berterusan universiti dalam menghasilkan impak terbaik.
Katanya, ia bukan sahaja dalam bidang akademik, penyelidikan dan intelektual, tetapi yang lebih penting dalam membawa perubahan positif kepada negara, dunia dan kemanusiaan sejagat.
“Edisi 2026 QS Rankings telah menilai lebih daripada 8,400 institusi di seluruh dunia, dengan hanya 1,501 universiti disenaraikan secara rasmi.
“UM menunjukkan peningkatan prestasi dalam reputasi akademik dan majikan, kerjasama penyelidikan antarabangsa, kebolehpasaran graduan, serta kemampanan (sustainability),” katanya.
Beliau berkata, lebih membanggakan, UM turut menerajui negara dalam lima daripada sembilan indikator QS, sekali gus mengukuhkan daya tarikan globalnya serta komitmen kepada persekitaran akademik yang inklusif.
“Kejayaan ini satu kebanggaan besar buat seluruh negara dan ia tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras, pengorbanan serta sokongan berterusan daripada seluruh komuniti kampus.
“Ini termasuk barisan akademik dan penyelidik, sehinggalah kakitangan pentadbiran dan sokongan serta pelajar,” katanya.
Dr Noor Azuan berkata, pelbagai pelaksanaan strategik melalui reformasi dan transformasi berpaksikan masa depan yang dilaksanakan sejak tahun lalu, kini mula membuahkan hasil.
Justeru katanya, UM akan terus komited dan teguh meneruskan perjalanan transformasi itu untuk mengangkat universiti ke tahap tertinggi.
Beliau menjelaskan, struktur tadbir urus UM yang sudah diperkemas dan ditransformasi, turut menyumbang kepada kejayaan itu.
Katanya, ia juga selari dengan aspirasi dan pandangan jauh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyeru kepada struktur kerja dan tadbir urus yang berpandangan jauh serta berasaskan nilai daya saing, integriti, keberkesanan dan keadilan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



